Ford Puma ST, SUV Kompak Dengan Pakej Menarik

Segmen SUV sedang hangat berkembang sehingga pengeluar kereta eksotik dan mewah seperti Lamborghini dan Roll-Royce mempunyai model masing-masing. Selain itu, sejak dari dulu segmen SUV mempunyai pelbagai kelas dari A hingga D dan di antara jenama yang giat memasarkan SUV ialah Ford.

Di antara SUV keluaran Ford ialah Everest, Escape, EcoSport dan yang terbaru Puma mewakili segmen B. Bukan sahaja saiz kompak, Ford kini menawarkan Puma ST dengan enjin 1.5 liter turbo berkuasa 200 PS dan tork setinggi 320 Nm!

Rangkaian Kuasa
Enjin 1.5 liter EcoBoost pada Puma ST ini pertama kali digunakan pada Fiesta ST. Enjin itu mempunyai sistem pancitan bahan api tekanan tinggi dan Pemasaan Aci Boleh Ubah Berkembar-bebas (Twin-independent Variable Cam Timing) bagi memberikan prestasi ala kereta sport dan cekap bahan api. Enjin tiga silinder itu mempunyai daya kilas tinggi pada rpm rendah. Kuasa puncak boleh didapati pada 6,000 rpm dengan tork puncak ditingkatkan kepada 320Nm di antara 2,500 rpm dan 3,500 rpm.

Satu lagi ciri canggih pada enjin 1.5 liter EcoBoost ialah teknologi nyahaktif silinder iaitu yang pertama untuk enjin tiga silinder. Teknologi itu boleh menghentikan penghantaran minyak dan operasi injap secara automatik untuk satu daripada silinder pada keadaan yang tidak diperlukan. Contoh senario tersebut ialah ketika pemanduan biasa yang mempunyai permintaan kurang dari enjin.

Teknologi itu berupaya untuk nyahaktif atau mengaktifkan semula satu silinder dalam masa 14 milisaat dan menyumbang kepada penggunaan minyak 19.98 km/l (47.0 mpg) mengikut standard NEDC. Puma ST dilengkapi transmisi sama seperti Fiesta ST iaitu enam kelajuan manual dengan nisbah pacuan akhir singkat. Dari segi prestasi daya pecutan Puma ST dari 0 hingga 100 km/j memerlukan 6.7 saat manakala kelajuan maksimum ialah 220 km/j.

Puma ST mempunyai empat jenis pilihan pemanduan iaitu Normal, Eco, Sport dan menariknya mod Track dengan tetapan pengendalian yang khusus bagi mencatatkan masa pusingan litar selaju mungkin. Di dalam mod Track, kawalan cengkaman dinyahaktif dan ECS ditetapkan pada mod gelinciran lebar (wide-slip) untuk pengalaman pemanduan yang tersendiri.

Reka Bentuk
Dengan prestasi tinggi, Puma ST tidak sarat dengan kit badan dan tampil sederhana. Splitter Ford Performance disatukan pada bampar depan bagi meningkatkan daya mendap bahagian hujung depan sehingga 80 peratus untuk lebih kestabilan dan cengkaman. Gril signatur ST pada bahagian atas dan bawah direka untuk meningkatkan keupayaan penyejukan enjin.

Spoiler belakang turut membantu dari segi aerodinamik dan seperti biasa peresap dipasang pada bahagian bawah bampar. Roda aloi pula saiz besar iaitu 19 inci dengan dua pilihan warna Magnetite atau kemasan mesin (machined metal finishes). Ada enam warna badan untuk pilihan pelanggan iaitu Agate Black, Desert Island Blue, Fantastic Red, Frozen White, Magnetic dan Mean Green khusus untuk ST. Pilihan tersebut dipadan dengan warna hitam kilat untuk bumbung, cermin sisi dan beberapa komponen lagi yang menaikkan imej menarik Puma ST.

Bahagian dalam pula istimewa dengan kerusi sport Recaro, stereng balutan kulit bentuk rata bawah (flat-bottomed), tombol gear ST dan skid plate dari Ford Performance. Tidak hanya berkisar tentang prestasi, muatan barang Puma ST mempunyai kapasiti 456 liter. Ford MegaBox di bawah lantai but pula mempunyai kapasiti simpanan 80 liter untuk praktikaliti harian.

Pemanduan Dan Pengendalian
Puma ST sememangnya diberi perhatian istimewa. Ford Performance telah bekerjasama dengan Michelin bagi membangunkan tayar dengan spesifikasi khas sebagai padanan kepada casis yang telah dipertingkatkan tanpa mengorbankan kualiti pemanduan iaitu ciri penting sebuah SUV.

Tayar Michelin Pilot Sport 4S pada Puma ST berupaya mengeksploitasi dengan penuh cengkaman tambahan dari pembeza gelincir terhad (LSD) jenis mekanikal Quaife yang merupakan komponen pakej Performance Pack. Sistem LSD mekanikal itu mengagihkan daya kilas enjin kepada roda yang mempunyai cengkaman paling kuat, mengurangkan gelinciran roda seterusnya memberikan lebih keyakinan semasa memandu terutama sekali ketika melalui selekoh.

LSD tersebut turut berfungsi bersama Torque Vectoring Control yang mempertingkatkan cengkaman dan mengurangkan pembelokan kurang (understeer) dengan mengenakan daya brek pada roda depan sisi dalam ketika melalui selekoh.

Keseimbangan di antara LSD dan Torque Vectoring Control ditala Ford Performance supaya dapat mengoptimumkan cengkaman di permukaan kering dan kelancaran di permukaan basah. Pulasan (twist-beam) suspensi belakang ditingkatkan kepada 2,000Nm atau lebih daripada 40 peratus berbanding Fiesta ST dan 50 peratus pada Puma standard dengan bar anti oleng 28 mm dipasang pada bahagian U. Bar anti oleng 24 mm pada bahagian depan turut menyumbang kepada kestabilan selekoh.

Selain itu, nisbah stereng 11.4:1 pada Puma ST atau hampir 25 peratus lebih pantas berbanding model standard. Ciri tersebut disumbang oleh kombinasi sendi buku (knuckle) depan yang mempunyai lengan stereng lebih pendek dan penggearan kemudi rak (steering rack) lebih pantas untuk peningkatan respon pembelokan.

Prestasi brek turut ditingkatkan dengan diameter cakera brek depan 17 peratus lebih besar kepada 325mm dan 271mm untuk cakera belakang. Penggalak brek ditala untuk modulasi, rasa dan respon yang sesuai untuk prestasi tinggi Puma ST.

Harga
Ford Puma ST mempunyai pakej menarik dari segi reka bentuk, prestasi dan teknologi. SUV kompak ini ditawarkan kepada pengguna di United Kingdom pada harga permulaan £28,495 (RM151,495) manakala pakej Performance Pack pula bernilai £950 (RM5,050).

Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ