Ferrari SF90 Spider Tiba Di Malaysia

Jentera baharu SF90 yang merupakan versi Spider SF90 Stradale telah diperkenalkan oleh Naza Italia secara digital baru-baru ini. Bagi makluman, Ferrari SF90 Spider ini adalah model pertama jenama itu yang dilengkapi bumbung boleh lipat (retractable hard top- RHT) hibrid dan ditawarkan pada harga bermula RM 2,088,000.
Selain itu, ia turut didatangkan bersama program penyelenggaraan selama tujuh tahun dengan servis berjadual. Supercar terbaharu itu mendapat inspirasi secara prinsipal dengan pembangunan model SF90 Stradale yang menekankan rekaan inovatif dan futuristik.

Jika diperhatikan, SF90 Spider ini memiliki rekaan mirip SF90 Stradale terutamanya di bahagian sisi, depan dan belakang terutama apabila menggunakan RHT. Namun begitu, ia tetap mempunyai daya tarikan dinamik yang unik apabila bahagian bumbung diturunkan menjadi convertible.
Sentuhan moden dan radikal dapat diperlihatkan pada bahagian badan jentera ini. Ia hadir dengan lampu tirus LED Matrix, tip ekzos berkembar dan lampu belakang moden. SF90 Spider dilengkapi rim 20-inci dibaluti tayar 255/35 di depan dan 315/30 di belakang menyerlahkan lagi sisi sporty jentera hibrid ini.

Selain itu, kokpit jentera terbaharu itu dialihkan ke hadapan sedikit untuk memberi keselesaan kepada pemanduan. Bumbung pula adalah 20 mm lebih rendah, tiang A lebih kecil dan cermin hadapan kelihatan lebih tajam dalam memberi kelainan kepada supercar tersebut.
Sebagai jentera hibrid, ia dilengkapi tiga motor elektrik Motor Generator Unit Kinetic (MGUK) yang menggunakan teknologi Formula 1. Dua motor elektrik berkenaan berada di bahagian hadapan manakala satu lagi di belakang yang mampu menghasilkan 220 PS.

Gandingan teknologi terkini itu memastikan jentera terbaharu ini mampu menjana kuasa maksimum mencecah sehingga 1,000 PS dan tork 800 Nm dengan transmisi 8 kelajuan dual clutch automatik. Ia hadir dengan bateri lithium ion bersaiz 7.9 kWh, hanya cukup untuk jarak sejauh 26 km jika mahu menggunakan elektrik sepenuhnya.
Model terbaharu ini merupakan jentera sport Ferrari pertama dilengkapi pacuan empat roda (4WD) yang mampu mencatat pecutan 0-100 km/j dalam masa 2.5 saat dan 0-200 km/j pula hanya 7 saat.
Selain itu, ia didatangkan dengan empat mod pemanduan iaitu eDrive, Hybrid, Performance dan Qualify. Bagi memastikan kesinambungan prestasi dinamik dan cengkaman lebih baik, ia dilengkapi sistem Electronic Side Slip Control (eSSC), torque vectoring, Electric Traction Control (eTC) dan rotation axis control – electric (RAC-e).

Untuk keterangan lanjut boleh menghubungi Ferrari Malaysia Showroom ataupun layari laman Facebook http://www.facebook.com/ferrari.nazaitalia.
Sumber : Mekanika