FERIO IDAMAN

Salah satu sedan keluarga yang boleh bertukar menjadi kereta mainan yang menyeronokkan ialah model Civic EJ/EK Ferio. Ia ada 4 pintu yang praktikal, saiz boot yang sedang elok, salinan komponen yang banyak serta pilihan enjin VTEC yang power. Tu pun kalau berduitlah, sebab sebahagian besar komponennya berada dalam kelas orang have-have…

Ketika diperkenalkan, model ini dikritik kerana lampu depannya yang besor tembakol. Benda tak femes lagi memang gitu. Lebih-lebih lagi bila model keluaran tempatan dijadikan ukuran. Namun bila kengkawan luar mula menunjuk jalan, barulah kita sedar yang kereta ini masih lagi cun jika kena caranya.

Azreen antara pemilik model tempatan yang berjaya menjelmakan keretanya seperti model JDM sebenar. Tipulah kalau tak perasan tang mana yang dia buat. Selain penggunaan kit badan Civic EK Ferio ViRS, Azreen turut menambah beberapa komponen mekap lain seperti hood  J’s Racing, lip Mugen, cermin sisi aftermarket serta diffuser Golden Eagle yang merompongkan sebahagian bumper belakangnya. Warna pilihan pun mari jugak, jenis biru solid yang pekat melekat, termasuk menghitamkan sebahagian komponen depan untuk efek lebih menarik.

Bagi kebanyakan pemilik Civic, kasut pilihan biasanya taklah besor mana. Rim Volk Racing CE28 berukuran 15-inci seperti ini, rasanya sudah memadai. Ia digabungkan bersama tayar lekit Toyo Proxes R888R untuk depan dan T1R di ruang belakang. Hiasan Sticker Tire 3D yang lebih tebal dan berkualiti, membantu menaikkan lagi rupa keseluruhan. Taklah herot sebelum waktunya…

Enjin cam sebatang keluaran Kah Motor telah disisihkan dan diganti dengan enjin VTEC yang boleh menjerit. Banyak juga pilihan yang boleh dibuat, tapi Azreen lebih minat menyumbat enjin B16B dari Civic EK9 Type R sebagai ganti. Di kalangan penggiat VTEC, ia diketahui mampu menghasilkan kuasa yang jauh lebih tinggi berbanding enjin sebaya dengannya.

 

Enjin ini tidak Azreen usik sewenang-wenangnya. Benda dah nak pupus, sayanglah kalau dibagai tak tentu hala. Buat masa ini, ia hanya menerima ram udara Mugen dan kabel pencucuh SplitFire V-Charger. Untuk capaian kuasa yang optimum, sistem enjin telah ditala semula menggunakan unit ECU Hondata.

Dengan kuasa yang semakin galak, aspek pengendalian perlu diberikan perhatian yang setimpal. Lepas puas membidik sempua jiran tetangga, Azreen akhirnya berpuas hati dengan set suspensi boleh laras D&D, termasuk pemasangan lengan bawah Hardrace dan plet subframe dari ASR. Sementara kuasa hentian pulak kekal dengan komponen asal yang sudah memadai.

Kemasan ruang dalaman, rasanya tak perlu dipertikaikan lagi. Sebahagiannya telah disalin dengan komponen batik biru milik Civic EK Ferio ViRS, meliputi tempat duduk belakang, panel pintu dan lain-lain. Komponen Civic EK9 Type R yang lebih premium pun ada jugak, macam dashboard, karpet dan sepasang tempat duduk depan. Tidak ketinggalan penggunaan stereng Momo Integra DC5, tombol gear K-Tuned, harness Sparco, speed meter Pivot serta gugusan meter Defi di ruang tengah dashboard.

Walaupun dah cecah 20 tahun, modifikasi Ferio JDM masih diminati dan kekal dalam kelas tersendiri. Harganya pulak tak pernah turun, gara-gara permintaan yang mencanak tinggi. Senang citer, hanya orang tertentu saja sanggup melayan kerenahnya…