EBBY CUSTOM

Kecoh kejap pasal lampu Passo RM6K beberapa bulan lalu. Kesian mamat tu kecam secara berjemaah, sampai terpaksa tutup laman sosialnya dan pindah bawah tempurung. Bukan rega lampu tu ajer yang dipertikaikan, tapi juga sikapnya yang terlalu mendabik dada. Kenal pulak tuh, tepuk dahi jap…

Hakikatnya, membeli komponen dalam kotak dah tentu tak murah macam barang kutip hafkat. Lagi-lagi untuk model popular seperti Myvi. Benda mudah macam bumper rasanya boleh dengor lagi. Tapi bila melibatkan aksesori kelas bangsawan, rasa nak menyumpah pun ada.

Ambil Myvi kuneng Ebby Miswadi ni sebagai contoh, bagaimana seorang kaki JDM tegar sanggup berbelanja besar untuk kepuasan diri. Kita yang tak main ikut katalog JDM mungkin tak paham mana. Bila tahu nilai komponen dan aksesori yang dipasang, boleh dedor kepala lutut dibuatnya.

Untuk luaran, Ebby memilih untuk menggunakan kit badan model Boon Custom 08. Itu mungkin biasa. Yang jadi mahal apabila ditambah aksesori terpilih seperti skup udara Boon X4, lip FRP Version 2 untuk depan dan belakang, panel bumper dan skirt Modellista, serta spoiler TRD. Aksesori lain yang turut membantu termasuklah antena DSport, hook towing DSport, eyelid lampu depan, parking pole, wiper PIAA, lining krom pintu, lampu dan reflektor belakang LED, serta garnish krom pada hood dan bumper belakang. Membolehkan Ebby merenung bulan di waktu malam, bahagian bumbung kini menempatkan set canvas top Peugeot 108 yang boleh tahan besornya.

Bahagian roda diserikan dengan rim SSR Type F, yang dibalut tayar Michelin Pilot Sport dari saiz 205/50R-16. Memantopkan sektor pengendalian, sistem suspensi menggunakan set Cusco Street Zero A, termasuk padanan bar penstabil dari Cusco dan DSport. Sementara kuasa hentian pulak dibantu kit brek Endless untuk depan, serta hos braided DSport pada brek drum asal di ruang belakang.

Keupayaan enjin juga telah dipertingkatkan. Jika ramai memilih enjin YRV sebagai ganti, Ebby nampaknya lebih senang dengan enjin 3SZ-VE. Main NA senang, kurang sket masalah. Takdelah dok hadap muka pomen walaupun bengkel sendiri.

Sebagai kereta berhias, sedikit peningkatan turut dilakukan ke atas enjin ini. Paling jelas penggunaan penutup koil kustom, manifold kemasukan kustom, penapis udara aftermarket dan rel bahan api Velocity. Baru kemas sket. Memberi kelegaan kepada sistem buangan, bahagian ekzos menempatkan ekstraktor dari Dsport, paip tengah 5Zigen serta unit muffler Kakimoto Racing.

Seperti luar, bahagian dalam juga menerima salinan dari model seangkatan. Komponen penting seperti dashboard, panel pintu, tempat duduk belakang, karpet, side step dan lain-lain diambil dari model Boon Custom. Tidak ketinggalan penggunaan sepasang tempat duduk Recaro SR3, stereng Momo Euro, panel dashboard dan meter karbon Modellista, pedal Project U, bar dalam DSport, pewangi solar Carmate dan cermin belakang Tiffana.

Walaupun kurang bersokan, aspek pemantauan tetap diberi perhatian. Diselitkan meter tambahan Defi untuk bacaan rpm dan suhu, paparan Defi VSD, meter voltan Pivot, pemasa enjin Comtec, termasuk pakej audio lengkap keluaran Pioneer Carrozzeria.

Dengan semua perubahan yang telah dibuat, kereta ini pernah memenangi kategori Boon Custom Terbaik dan Persembahan Enjin Terbaik, semasa Mega Gath KL 2017 yang berlangsung tahun lalu. Amacam?