Dua Warna Pilihan Baharu Diperkenalkan Honda Malaysia

Dua warna baharu diperkenalkan Honda Malaysia untuk model CR-V (Comfortable Runabout Vehicle) keluarannya iaitu Ignite Red Metallic dan Meteoroid Gray Metallic. Warna Ignote Red Metallic ini dipercayai menaikkan lagi gaya eksterior CR-V dengan penampilan yang lebih meriah. Manakala warna Meteoroid Gray Metallic pula tampil lebih lasak.

Kedua-dua warna ini menggantikan Passion Red Pearl dan juga Modern Steel Metallic color sekali gus memberikan pilihan segar untuk para pelanggan.

Menurut Pengarah Urusan dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimure, warna Ignite Red Metallic dan Meteoroid Gray Metallic ini mendapat sambutan yang cukup baik di pasaran sejak diperkenalkan untuk model Honda yang lain. Antaranya seperti City, City Hatchback, Civic, BR-V dan juga yang baharu sahaja dilancarkan iaitu All-New HR-V, manakala Accord turut menawarkan pilihan warna Meteoroid Gray Metallic.

Bagi makluman, kedua-dua warna ini menjadi pilihan paling popular untuk kesemua model ini. Warna Ignite Red Metallic menyumbang sebanyak 18% dari jualan untuk setiap 5 model yang disebut tadi. Manakala Meteoroid Gray Metallic pula menyumbangkan sebanyak 24% dari jualan untuk setiap 6 model.

Kini, CR-V menjadi model terbaharu yang menerima pilihan kedua-dua warna ini dan melengkapkan peluasan warna Ignite Red Metallic dan Meteoroid Gray Metallic ke dalam barisan Honda. Bukan itu sahaja, Honda Malaysia yakin kedua-dua warna ini akan menyerlahkan lagi penampilan CR-V khususnya untuk pelanggan yang mahukan SUV tampil lebih berani dengan eksterior moden.

Sejak dilancarkan pada tahun 2017, generasi kelima CR-V telah mencatatkan jualan leih 63,000 unit dan model facelift yang dilancarkan pada November 2020 menyumbangkan sebanyak lebih 27,000 unit sehingga hari ini. Tidak dapat dinafikan, CR-V memenangi hati pelanggan Honda di Malaysia dengan gaya, interior yang elegan serta prestasi yang cemerlang.

Bukan itu sahaja, CR-V turut menyumbangkan sebanyak 12% jumlah jualan syarikat dari Januari sehingga Julai 2022. Jualan cemerlang ini secara tidak langsung membuktikan penerimaan positif terhadap teknologi terkini memandangkan CR-V dilengkapi dengan ciri-ciri inovatif serta memberikan keseronokan membeli kepada para pelanggan.

Selain itu, CR-V ini turut dikuasakan enjin turbocharged VTEC 1.5 yang mampu menghasilkan output kuasa maksima 193PS dan tork maksima 243Nm, memberikan keterujaan dalam memandu sebuah SUV. Bagi penambahan standard, ia dilengkapi ciri-ciri keselamatan unik seperti Honda SENSING yang mempunyai 8 ciri keselamatan.

Rekaannya yang dinamik dengan ruang interior luas serta tampil lebih versatil. CR-V ini mempunyai kapasiti but 522 liter apabila tempat duduk belakang dinaikkan dan 1,084 liter apabila ia dilipatkan ke bawah sekali gus menambahkan lagi keluasan serta meningkatkan fungsinya sebagai sebuah SUV.

Penawaran pakej lengkap sebuah SUV, CR-V merupakan sebuah kenderaan yang ideal untuk keluarga dan juga kegunaan profesional kepada sesiapa yang mahukan SUV yang bergaya dan sofistikated. Pada masa yang sama, sesuai untuk pemanduan yang lebih santai dan juga mengujakan. CR-V ini ditawarkan dalam 4 varian iaitu 2.0L 2WD, 1.5L TC-P 2WD, 1.5L TC-P 4WD dan Black Edition.

Untuk maklumat lanjut untuk pilihan warna baharu CR-V, para pelanggan boleh mengunjungi mana-mana 102 wakil pengedar Honda di seluruh negara atau hubungi talian bebas Honda Malaysia
1-800-88-2020 atau layari www.honda.com.my.