DSPORT 312

Kereta milik Angah ini pernah menjadi bahan ‘most wanted’ sewaktu kemunculan pertamanya dalam himpunan pemilik Myvi baru-baru ini. Kira kezutan jugaklah, memandangkan ia berjaya disiapkan dalam tempoh yang singkat. Ingat jadi cempion dah, tapi dinafikan oleh pihak penganjur selepas mereka beristikharah. Maka meletoplah kejap di mukabuku, dengan ulasan dan komen yang pedas. Mujur semuanya kawan-kawan dan ia selesai sebagai drama sandiwara untuk memeriahkan keadaan.

Ketaksuban sesetengah pemilik dengan konsep JDM bukanlah sesuatu yang pelik. Ia tidak hanya melibatkan model ini saja, tapi turut terpalit kepada model saduran lain. Disebabkan paksi modifikasi yang sama, pemilihan sebuah yang terbaik memang memeningkan. Ada saja ruang pertikaian dan ia hanya dibezakan oleh gaya persembahan, kekemasan, termasuk originaliti barangan yang digunakan.

Kereta ini merupakan projek terbaru ToraTora Motorsport, untuk dibawa ke pentas peragaan. Ia mengenakan konsep Boon X4 M312S sepenuhnya, seperti yang dihasilkan oleh pihak DSport. Macamana DSport buat, macam gitulah gayanya. Bermula dengan padanan kit badan Boon X4 versi DSport, diikuti penggunaan komponen gentian karbon untuk hood, cermin sisi, skirt dan spoiler. Malah aksesori kecik seperti sirip wiper, tow hook, nat tayar, bingkai plet dan skru plet juga diambil dari katalog DSport.

Kuasa cengkaman disumbangkan oleh tayar Yokohama Advan Neova AD08 bersaiz 195/55R-15 yang dibalut pada rim Weds Sport SA90. Bagi membantu kuasa hentian, sistem brek depan menggunakan komponen lengkap dari DSport. Sementara aspek pengendalian dibantu set suspensi DSport, termasuk pemasangan rangkaian bar penstabil DSport dan Cusco.

Nadi kuasa menggunakan enjin KJ-VET, juga dari Boon X4. Walaupun hanya bersesaran 1.0-liter, enjin DOHC 4-silinder berkuasa turbo ini telah ditala untuk menghasilkan kuasa sekitar 133hp. Paling penting ia turut dilengkapi kotak gear manual 5-kelajuan serta sistem pacuan 4WD yang juga telah dimuat naik. Buat masa ini tiada sebarang perubahan dilakukan, kecuali tambahan aksesori seperti kabel pembumi, penutup radiator dan penutup minyak DSport, serta pengikat bateri dari Cusco.

Persembahan ruang kokpit cukup mewah dengan jajan idaman. Ia dimulakan dengan pemasangan komponen milik Boon X4 seperti papan pemuka, panel pintu, set pilar dan lain-lain. Paling mengujakan kehadiran sepasang tempat duduk Recaro SR4 Tomcat dari DSport, lengkap bersama tali pinggang Cusco dan Prodrive. Sementara bahagian belakang sengaja dikosongkan, bagi memberi ruang kepada unit rollcage Cusco yang digunakan.

Diselitkan juga beberapa aksesori tambahan yang lain seperti panel dashboard gentian karbon Modellista, plet sisi pintu Boon, tray boot Boon, stereng Sparco dan tombol gear DSport. Aspek pemantauan pulak datang dari meter tambahan Defi, unit Defi ZD, paparan Defi VSD, unit RSM Apexi Imamura, juga pemasa enjin HKS Type 1.