DRIFT KINGS INTERNATIONAL SERIES ASIA MALAYSIA ROUND 1 & 2

Foto: PerfectEdge Motorsports

Selepas tidak beraksi di Malaysia tahun lalu, Drift Kings International Series Asia yang dulunya dikenali sebagai King Of Nations Pro Series Asia, kembali mengadakan siri perlumbaan drift berprestij itu di Litar Elite Speedway USJ pada 15-17 November yang lalu. Diuruskan oleh Exquisite Motorsports Club selaku promoter tempatan, seramai 35 orang pelumba dari Malaysia, Thailand, Kuwait, Brazil, China dan Jepun telah mengambil bahagian pada penganjuran kali ini.

Perlumbaan Pusingan 1 dan Pusingan 2 diadakan selang sehari pada hujung minggu yang sama. Selepas melepasi peringkat kelayakan, seramai 32 orang pelumba terbaik mara ke peringkat Top32 bagi penentuan juara pusingan berkenaan.

Peringkat separuh akhir dimenangi Tan Tat Wei dari Malaysia, selepas menewaskan Tuta dari Thailand. Kelebihan juga berpihak kepada S Chanatpon dari Thailand yang menidakkan cabaran rakan senegara Man Singha untuk mara ke peringkat akhir. Pertemuan antara S Chanatpon dan Tan Tat Wei kemudian, menyaksikan penguasaan penuh S Chanatpon sebagai juara Pusingan 1.

Perlumbaan Pusingan 2 berlangsung keesokan harinya. Ia menemukan S Chanatpon dengan Lee Mun Hoong dari Malaysia di peringkat separuh akhir. Kelebihan S Chanatpon yang berjaya mengekori rapat, membolehkan beliau mara ke pusingan akhir. Dalam satu lagi pertemuan, Chai Yoon Hau dari Malaysia telah memperolehi kemenangan mudah selepas Man Singa terlibat dalam kemalangan. S Chanatpon terus menunjukkan penguasaan yang konsisten ketika bertemu Chai Yoon Hau, sebelum muncul selaku juara Pusingan 2. Hasil kutipan mata dari kedua-dua pusingan, beliau turut dinobatkan sebagai juara keseluruhan King of Kings untuk siri perlumbaan ini.

KEPUTUSAN

Pusingan 1
1st – S Chanatpon (Team PTT Achilles OBG Thailand)
2nd – Tan Tat Wei (Team OBG Achilles Malaysia)
3rd – Man Singha (Team Singha Thailand)
Top Qualifier – Jason Lim (Team OBG Achilles Malaysia)

Pusingan 2
1st – S Chanatpon (Team PTT Achilles OBG Thailand)
2nd – Chai Yoon Hou (Team JQK Malaysia)
3rd – Lee Mun Hoong (Team Westlake Tyres Malaysia)
Top Qualifier – S Chanatpon (Team PTT Achilles OBG Thailand)

King of Kings
1st – S Chanatpon (Team PTT Achilles OBG Thailand)
2rd – Man Singha (Team Singha Thailand)
3nd – Chai Yoon Hou (Team JQK Malaysia)