Pelumba veteran, Faidzil Alang, sekali lagi membuktikan kehebatannya apabila berjaya mempertahankan gelaran juara keseluruhan buat kali kedua berturut-turut pada edisi ke-9 MSF Merdeka 111-Lap Race yang berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang.
Bergandingan bersama dua pelumba debutant kategori Super Series Limited, Muhamad Nurazmi dan Ariff Hanafiah, trio ini memandu jentera #148 Papaya Autohaus Mercedes-Benz A45 untuk menamatkan kesemua 111 pusingan dengan mendominasi saingan dari awal hingga akhir.
Kedudukan kedua keseluruhan diraih oleh pasangan Syahrizal Jamaluddin dan Muhammad Hasif yang memandu Toyota Yaris, manakala tempat ketiga milik trio Kegani Racing Academy iaitu Kenny Lee, Loke Yin Yi dan Daniel Storkensen menerusi jentera Toyota Levin. Pasukan Kegani Racing Academy turut mengungguli kelas Super Compatto selepas bangkit daripada masalah teknikal wayar hos klac yang menyaksikan mereka kehilangan masa selama 11 minit di hentian pit.
Saingan berprestij pada hujung minggu sempena sambutan Hari Kebangsaan ini menampilkan hampir 200 jentera dan 300 pelumba menerusi pelbagai kategori empat roda dan dua roda. Bagi saingan utama 111-Lap Race sahaja, sebanyak 63 buah kereta telah berbaris di petak pelepasan merentasi lapan kelas pertandingan. Kemeriahan diteruskan dengan penganjuran Merdeka 75 Cup, Skilldrvn One Make Race Series, serta aksi permotoran Harley Davidson menerusi American V-Twin Cup oleh Prodigy Racecraft.
Bagi kategori dua roda, MotoMSF Merdeka 33-Lap Endurance Race menyaksikan pasangan Dhiraj Tan dan Sankaran Shamugam yang menunggang jentera 600cc Supersport muncul sebagai juara keseluruhan. Tempat kedua diraih oleh juara bertahan Mohammad Fahmi Abdul Wahaf dan Mohd Radzi Omar dengan jentera Ducati, manakala tempat ketiga disandang oleh Tony Ng Wei Shyang dan Ke Huanni yang menunggang Honda CBR600RR.
Penganjuran kali ini turut menyaksikan penglibatan pelumba berpengalaman seperti bekas pelumba Red Bull MotoGP Rookies Cup, Amirul Hafiq Azmi. Menurut Prinsipal MSF, Adian Yein Khalid, MSF Merdeka 111-Lap Race terus kekal sebagai asas penting pembangunan sukan permotoran peringkat akar umbi di Malaysia, di samping semakin mendapat perhatian pelumba serantau dan antarabangsa sebagai medan mengasah bakat baharu.
Secara keseluruhannya, kejohanan yang dianjurkan oleh Kelab Sukan Motor MSF Malaysia dengan kerjasama Motorsport Association of Malaysia (MAM) ini berjaya membuktikan bahawa disiplin, strategi hentian pit dan kerjasama pasukan adalah kunci utama kepada kejayaan dalam perlumbaan tahan lasak.
Keputusan MSF MERDEKA 111-LAP RACE/ MOTOMSF MERDEKA 33-LAP ENDURANCE RACE
Keseluruhan
1. Faidzil Alang/Muhamad Nurazmi/Arif Hanafiah
2. Syahrizal Jamaluddin/Muhammad Hasif
3. Kenny Lee/Loke Yin Yi/Daniel Storkensen
Super Series Limited
1. Faidzil Alang/Muhamad Nurazmi/Arif Hanafiah
2. Syahrizal Jamaluddin/Muhammad Hasif
3. Lim Chi Hong/Mohd Faisal Naim
EXN Gt86 X BRZ Racing Cup
1. Daniel Harris Jaeggi/Lew Xuan Yan
2. Ethan Ong/Pepito S. Lo/Andre Makkina Tan
3. Chang Choon Ming/Tan Eng Ping/Tan Hong Xin
Super Compatto
1. Kenny Lee/Loke Yin Yi/Daniel Storkensen
2. Foo Yung Chieh/Freddie Ang
3. Lim Ee Cheok/Ng Wui Leng
Standard Production
1. Lim Jian Hong/Lim Zheng Chuen/Xie Boyu Jonathan
2. Soh Chee Siang/Lee Chee Wan/ Lester Lian
3. Luke Anton Netto/Mark Gerard Netto/Richard Mark Waller
Standard Production Max
1. Khair Nur Adi/Khair Nur Adli/Mohamad Anaqi
2. Chang Tze Seng/Tay Jin Yang
3. Marcus Ong Jin Yeong/Ong Gee Yeong
Super Production
1. Soon Chew Poh/Ling Guang You/Wong Mun Seong
2. Justin Yap/Alvin Toh/David Kang/Ong Jin Long
3. Brandon Choong/Wong Kok Yong/Kang Chin Wan
K-Series Battle
1. Dante Clement/Joshua Thiran/Ng Zhang Jack
2. Nah Jie Ying/Carmina Wong/Lim Jun Cheng
3. William Yong/Mohd Faizal naim/Wan Fadli Shah
SWX
1. Kendrew Wong/Calix Yip
2. Tham Li Ming/Teo Zhengyi/Mohd Irwan/David
3. Shawn Tan/Ji Min Lin/B. Kishen
MotoMSF Merdeka 33-Lap Endurance
1. Dhiraj Tan/Sankaran Shamugam
2. Mohd Fahmi Abdul Wahaf/Mohd Radzi Omar
3. Ng Wei Shyang/Ke Huanni