Dominasi EV, Kelestarian dan Inovasi

Edisi ke-13 Automechanika Kuala Lumpur (AMKL 2024), yang berlangsung dari 1 hingga 3 Ogos 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), telah melabuhkan tirai dengan kejayaan besar. Dirasmikan oleh Faizal Mohd Yusof, Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Industri di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), mendapat sambutan hangat daripada pemain industri global dan tempatan.

Fokus utama pameran ini adalah pada kenderaan elektrik (EV), kelestarian, dan inovasi, yang selaras dengan objektif nasional Malaysia dan Rancangan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030. Sepanjang tiga hari pameran, AMKL 2024 berjaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan mempromosikan kenderaan cekap tenaga serta teknologi canggih.

Pameran ini menjadi platform bagi pengeluar dan pembekal teknologi hijau untuk memperkenalkan produk dan penyelesaian mereka kepada pasaran Malaysia dan antarabangsa. Pameran ini turut memperkukuhkan rantaian bekalan tempatan dengan memperkenalkan penyelesaian automotif yang lebih mampan dan efisien. Ini sejajar dengan matlamat negara untuk mencapai kelestarian dan inovasi dalam sektor perindustrian menjelang 2030.

Bagi memeriahkan lagi AMKL 2024, pelbagai aktiviti turut disediakan untuk menarik ribuan pengunjung dan para pempamer profesional yang datang dari lebih 45 buah negara. Antara yang menerima sambutan hangat adalah persidangan yang membincangkan penyelesaian mobiliti terkini dalam industri iaitu Automotive Mobility Solution Conference. Ini diikuti dengan Bengkel Collision Repair dengan Fokus terhadap EV yang memamparkan teknik-teknik terkini dalam pembaikan kenderaan elektrik yang semakin mendapat perhatian industri.

Tidak lupa juga, program AutoFest yang menjadi tumpuan dengan kehadiran selebriti sukan permotoran serta persembahan pentas. Antara selebriti sukan yang hadir ialah YS Khong dan juga Leona Chin. Manakala artis jemputan yang memeriahkan lagi AutoFest ini termasuklah Giana, Keyin, Haezee, DJ Vgene, MC Mili, Cyphere Kingz, MC First Blood dan DJ Narwin.

Selain itu, AMKL 2024 ini turut menyediakan segmen Simposium Pakar Kenderaan Moden dan CamScore Grand Prix yang telah dihoskan oleh MIROS-CyberSecurity Malaysia yang membincangkan keselamatan kenderaan moden dan teknologi yang berkaitan. Seterusnya, Seminar Teknikal oleh Valvoline yang menyediakan panduan tentang penggunaan alat dan pelincir yang betul. Segmen ini ditujukan khusus kepada para mekanik automotif.

Bagi makluman, AMKL 2024 ini berjaya menghimpunkan seramai 310 pempamer dari 19 buah negara yang mempamerkan pelbagai teknologi dan produk automotif terkini. AMKL sekali lagi berjaya menjadi platform penting bagi industri automotif untuk berkongsi pengetahuan, membina rangkaian dan memperkenalkan inovasi terkini. Bukan hanya meningkatkan profil Malaysia dalam industri automotif global, malah turut menyumbang kepada perkembangan kelestarian dan teknologi hijau yang menjadi fokus utama dalam usaha negara untuk mencapai matlamat NIMP 2030.