Dinobatkan Sebagai Kereta Terbaik 2021 Di Jerman

Ghibli dari Maserati telah memenangi pelbagai hadiah dan anugerah, namun penganugerahan kali ini nyata lebih istimewa apabila dinobatkan sebagai Kereta Terbaik 2021 untuk kategori “Upper Middle Class – Import” menerusi pilihan pembaca dari salah sebuah majalah kereta di Jerman, Auto Motor Und Sport. Lebih 100,000 pembaca telah memilih kereta ini dari 378 lain dari 11 kategori yang disediakan.

Bagi makluman, ia merupakan kali ke-45 anugerah ini diadakan. Menurut CEO Maserati, Davide Grasso, Ghibli merupakan sebuah model ikonik dengan lebih 100,000 unit dihasilkan sejak dilancarkan pada tahun 2013. Model ini membawa nilai-nilai jenama dan DNA yang ada pada Maserati dengan cukup sempurna. Oleh yang demikian, Maserati telah memilih Ghibli sebagai pencetus kepada projek elektrik jenama ini pada masa akan datang. Tahun lepas, Maserati telah melancarkan Ghibli Hybrid, yang merupakan hybrid pertama Maserati dalam sejarah.

Bagi perkembangan terkini MY 2021, Ghibli telah menerima beberapa penambahbaikan gaya dan juga teknikal lebih komprehensif. Selain itu, ia juga menerima sistem infotainment MIA (Maserati Intelligent Assistant) dengan skrin 10.1” (16:10) yang telah dikemaskini. Bukan itu sahaja, program Maserati Connect* baharu membolehkan pemiliknya terus berhubung dengan kereta, sebagai contoh, sentiasa dimaklumkan tentang data informasi kereta dengan terperinci.

Buat pertama kalinya, enjin V8 juga terdapat pada varian Ghibli. Enjin turbo berkembar 3.8 liter 580hp ini memecut dari 0 sehingga 100 km/j dalam masa 4.3 saat dan memberikan kelajuan tertinggi pada 326 km/j – sedan Maserati tidak pernah sepantas ini. Versi eksklusif ini didatangkan juga dengan mode pemanduan “Corsa” dan elemen lebih bergaya yang membuatkannya lebih unik dan mudah dikenali.