Dilengkapi Gril Baru Yang Lebih Besar, Tampil Lebih Agresif

Selepas memperkenalkan model 5-Series facelift untuk pasaran 2021 bulan lepas, Kini BMW memperkenalkan pula sedan berprestasi tinggi paling terkenal iaitu M5 2021. Lebih menarik lagi, ia dilengkapi dengan gril baharu yang lebih besar untuk tampil lebih agresif. Ini diikuti bahagian bumper hadapan dan belakang yang telah direka semula dengan tujuan yang sama iaitu tampil lebih agresif.

Bahagian kiri dan kanan bumper menempatkan ruang kemasukan udara yang lebih besar. Bumper ini turut dilengkapi diffuser berserta lampu belakang berbentuk L. Lampu utama LED yang dipasangkan pula lebih kurus sekali gus menyerlahkan ciri-ciri moden pada M5 baharu ini. Lebih elegan dengan kemasan hitam pada bahagian gril, emblem, cermin sisi, spoiler belakang dan bahagian bumper belakang. M5 2021 ini menawarkan pilihan warna baharu iaitu Motegi Red Metallic, Brands Hatch Grey Metallic dan Tanzanite Blue II Metallic.

Beberapa ciri yang ada pada BMW 5-Series standard turut dikekalkan termasuk unit paparan digital bersaiz 12.3 inci lengkap dengan fungsi sesentuh selain mempunyai sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Dibalut dengan kulit Merino, tempat duduk M5 baharu ini boleh didapati dalam warna Aragon Brown, Silvertstone atau hitam. Kemasan dalaman juga boleh dipilih tanpa sebarang kos tambahan.

Dikuasakan enjin 4.4L V8 twin-turbo, M5 baharu ini mampu menghasilkan 600 hp kuasa dan 750 Nm tork. Sedikit lebih berkuasa dengan 613 hp tapi tork masih sama. Jumlah kuasa masih sama dengan model sebelumnya. M5 mampu membuat pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.2 saat manakala M5 Competition 3.1 saat. Tapi kedua-dua model ini mempunyai kelajuan yang dihadkan pada 250 km/j. Jika anda memilih M Drivers Package ia dinaikkan kepada 305 km/j.

Kuasanya disalurkan ke roda menerusi kotak gear automatik 8-kelajuan dan sistem pacuan-semua-roda. Sistem xDrive ini membolehkan pemandu menukar mod kepada RWD. Jika M5 standard menggunakan rim 19 inci, M5 Competition sedikit berbeza dengan menggunakan rim yang lebih besar seinci.

Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ