BYD Malaysia secara rasmi melancarkan model kemas kini pertengahan kitaran (facelift), 2027 Denza D9, ke pasaran tempatan dengan menampilkan penambahbaikan ketara pada rangkaian kuasa, kapasiti bateri, kelajuan pengecasan serta kelengkapan ruang kabin. Untuk model tahun 2027 ini, varian pacuan roda hadapan (FWD) terdahulu digugurkan dan ia kini ditawarkan dalam satu varian tunggal sahaja iaitu Prestige AWD pada harga bersih RM345,800, meningkat RM36,800 berbanding model sebelumnya.
Dari sudut mekanikal, sistem pacuan semua roda (AWD) jentera ini menerima lonjakan kuasa ketara menerusi motor hadapan berkuasa 462 PS (365 Nm) dan motor belakang 95 PS (80 Nm). Gabungan kedua-duanya menghasilkan jumlah kuasa keseluruhan 557 PS dan tork 445 Nm (meningkat 183 PS berbanding model terdahulu), di samping dilengkapi sistem suspensi pintar Dual-valve DiSus-C bagi memberikan keselesaan serta kestabilan pemanduan yang lebih meyakinkan. Bekalan tenaga pula disalurkan oleh bateri Blade LFP generasi kedua berkapasiti 115.07 kWh yang mampu menawarkan jarak pemanduan sehingga 560 km (WLTP).
Tarikan utama pembaharuan ini pastinya terletak pada sokongan teknologi BYD Flash Charging sehingga 1,500 kW (DC) berbanding had maksimum 166 kW sebelum ini, manakala pengecasan AC pula kekal pada 11 kW. Menerusi keupayaan tersebut, bateri boleh dicas dari 10 hingga 70 peratus dalam masa lima minit sahaja, atau 10 hingga 97 peratus dalam tempoh sembilan minit pada keadaan optimum. Bagi menyokong pelaksanaan teknologi ini, BYD mengumumkan sebanyak 12 unit pengecas pantas tersebut akan tersedia di bilik pameran Denza dan lokasi strategik menjelang hujung tahun ini sebelum diperluaskan kepada 130 lokasi pada tahun 2027.
Dari segi luaran, reka bentuk asalnya hampir dikekalkan sepenuhnya kecuali penggunaan rim aloi 18-inci rekaan baharu serta ketinggian badan yang kini direndahkan sebanyak 20 mm kepada 1,900 mm. Menjengah ke ruang kabin, konsol tengah tampil lebih kemas dengan penukar gear pada kolum stereng (column-mounted shifter) dan sepasang pengecas tanpa wayar 50 W.
Keselesaan penumpang turut dipertingkat melalui tempat duduk individu mewah (captain seats) di baris kedua dengan pelarasan elektrik 14-hala berserta fungsi urutan 16-titik, di samping kerusi baris ketiga berkuasa elektrik 4-hala yang turut dilengkapi fungsi pemanas serta pengudaraan. Kemewahan dalaman dilengkapkan lagi dengan sepasang skrin multimedia 12.8-inci untuk penumpang belakang dan sistem audio baharu 16 unit speaker daripada Devialet.
Aspek keselamatan turut diperkukuh menerusi penambahan beg udara tengah hadapan, menjadikan jumlah keseluruhannya meningkat kepada sembilan beg udara di samping ciri pengesanan kehadiran kanak-kanak (child presence detection) serta bantuan pemanduan separa autonomi Tahap 2. Bagi pilihan warna luaran pula, empat tona ditawarkan iaitu Arctic White, Cosmos Black dan Whale Blue Sea yang hadir bersama kemasan kabin berwarna coklat, manakala warna baharu Starry Night Grey dipadankan secara eksklusif dengan kemasan dalaman hitam.
Setiap pembelian 2027 Denza D9 Prestige AWD disertakan dengan jaminan kenderaan selama enam tahun atau 150,000 km, pakej penyelenggaraan berjadual percuma selama enam tahun, serta jaminan bateri voltan tinggi dan unit pacuan elektrik selama lapan tahun atau 160,000 km. Sebagai tawaran istimewa pelancaran bagi tempahan sebelum 31 Disember 2026, pembeli akan menerima pakej Denza Care+ bernilai RM7,088 secara percuma yang memanjangkan tempoh jaminan bateri kepada 10 tahun atau 200,000 km, di samping menikmati kemudahan pengecasan percuma di fasiliti BYD Flash Charging selama setahun.
Bagi yang berminat untuk melihat lebih dekat atau membuat tempahan, anda boleh mengunjungi mana-mana bilik pameran rasmi Denza di seluruh negara.