Dilancarkan Pada Harga Bermula RM211,689.54


Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini melancarkan Golf GTI serba baharu di Litar Antarabangsa Sepang. Dikenali sebagai raja hatchback, GTI menawarkan keseronokan pemanduan sporty sejak ia dilancarkan dalam acara Frankfurt Motor Show pada tahun 1975. Jentera ini terus mendefinisikan bagaimana sebuah kenderaan sports kompak patut dihasilkan.

Kini, GTI serba baharu menawarkan prestasi lebih berkuasa yang membawakan pengalaman pemanduan ke satu tahap baru dengan menjadikannya kereta sports harian yang diidamkan. Ia dikuasakan oleh enjin turbo 2.0TSI yang dipadankan dengan transmisi klac basah DSG 7-kelajuan berkuasa 245PS dan tork 370Nm – menjanjikan pengalaman pemanduan yang mengujakan kepada pemandunya.

Keunikan GTI ialah sistem Vehicle Dynamics Manager yang membolehkan personalisasi pemanduan dibuat. Selain daripada beberapa mod pratetap, ia juga mempunyai mod individu. Penggunaan bahan api adalah sekitar 7l/100km.

Ruang dalaman GTI nyata progresif, inovatif dan intuitif. Tempat sports duduk hadapan hadir dengan kemasan berwarna merah dan ciri suhu aktif yang boleh disesuaikan dengan cuaca panas atau sejuk. Tempat duduk pemandu didatangkan dengan ciri memori dan sokongan lumbar yang boleh dilaras secara elektrik. Semua tempat duduk dibalut kulit Vienna untuk memberi lebih keselesaan.

Dipasang di Pekan, ini merupakan satu pencapaian bersejarah kerana ini merupakan kali pertama GTI dihasilkan di luar Jerman dan China.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter menyatakan keterujaan dengan pelancaran GTI generasi kelapan ini. “GTI pastinya tiga huruf paling ikonik dalam industri automotif. Ia mempunyai peminat setia dari seluruh dunia dan ini termasuk peminat tegar di Malaysia. Kami berbangga kerana mampu menghasilkannya di Pekan sebab ini satu pencapaian yang cukup bersejarah. GTI ini penuh dengan inovasi dan kami yakin ia akan menetapkan standard baharu dan memberi keterujaan kepada para pelanggan.”

VPCM menyokong aspek selepas jualan dengan penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, selain jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.

Tempahan dan sesi pandu uji boleh dibuat di semua pengedar sah Volkswagen di seluruh negara ataupun di Volkswagen eShowroom: https://eshowroom.volkswagen.com.my/.

Reka Bentuk
GTI dapat dikenali secara serta-merta menerusi gril hadapan jenis honeycomb dan kemasan merah GTI yang telah menjadi signaturnya. Ia dipasang dengan rim aloi Richmond bersaiz 18” bersama angkup brek berwarna merah, selain lampu utama dan lampu belakang LED sepenuhnya.

Driver’s Workspace
Driver’s Workspace ialah landskap dalaman digital sepenuhnya yang menawarkan kemudahan dan ketersambungan lancar.

Ia hadir dengan Digital Cockpit generasi baharu 10.25” bersama pelbagai pandangan serta warna tema. Ini termasuklah gayaan spesifik GTI, stereng multi fungsi dengan kawalan sentuh haptik dan ciri pemanas. Sistem infohibur Discover Media 10” termaju pula menawarkan navigasi binaan dalam 3D, CarPlay dan Android Auto tanpa wayar serta tujuh unit pembesar suara berkualiti tinggi.

Kawalan intuitif operasi kenderaan ini disokong oleh sistem arahan suara pintar yang boleh diaktifkan dengan mudah melalui “Hello Volkswagen” atau menekan butang suara pada stereng. Ia akan memberi memberi maklum balas kepada arahan suara yang intuitif seperti “I’m cold” dengan menaikkan suhu.

Kualiti pengecaman dan suara untuk panggilan telefon juga lancar kerana ia boleh mengesan individu yang bercakap sama ada pemandu atau penumpang hadapan serta memberi maklum balas sewajarnya. Sebagai contoh, ia dapat mengenal pasti zon suhu yang perlu diubah.

Keselesaan dan Ketersambungan
Nikmati visual menarik setiap kali memandu dengan pilihan 30 warna lampu ambien yang boleh disambungkan kepada mode pemanduan, atau berdasarkan mood dan kecenderungan anda. Terdapat lima mode warna yang telah ditala iaitu (Infinity, Eternity, Desire, Euphoria, Vitality) dan tetapan individu untuk dipilih.

Suasana ruang kabin yang selesa dan menenangkan itu dipertingkatkan lagi dengan sistem pendingin hawa Climatronic 3-zon. Ubah suai suhu dengan menyentuh gelangsar atau hanya menerusi arahan suara.

Terdapat dua mode utama untuk sistem pendingin hawa iaitu Smart Climate dan Classic Climate yang setiap satunya hadir dengan pelbagai fungsi berguna. Sistem pendingin hawa Climatronic 3-zon itu turut dilengkapi ciri Air Care untuk menapis debunga, spora dan partikel bawaan angin demi memastikan udara sentiasa bersih.

Ruang dan Kemudahan
Ruang terus menjadi keutamaan buat hatchback ikonik ini apabila ia menawarkan ruang yang luas buat seisi keluarga. Kargo seluas 374 liter itu boleh memuatkan peralatan sukan dan riadah yang besar.

Satu lagi ciri pintar kenderaan ini ialah akses pantas sebab pintu akan dibuka secara automatik apabila kunci berada dalam zon pengesanan tertentu. GTI juga didatangkan dengan ciri Tyre Pressure Loss Indicator yang memberi amaran jika tekanan tayar semakin rendah.

Keselamatan
Golf serba baharu dibina untuk keselamatan. Kerangkanya dibina menggunakan kombinasi besi berkualiti tinggi yang dijurutera secara ekstensif untuk menawarkan perlindungan maksimum kepada penumpang sekiranya terdapat kemalangan.

Ciri-ciri keselamatan lain termasuklah ESC (Electronic Stability Control); Post Collision Braking System yang menghalang pelanggaran kedua, Electronic Differential Lock (XDS) yang menambah baik aspek cengkaman dan mengurangkan masalah understeer, enam beg udara untuk perlindungan pasca pelanggaran serta banyak lagi.

Warna
GTI didatangkan dalam lima warna iaitu Kings Red (merah) dan Atlantic Blue (biru) dalam kemasan metalik; pilihan Moonstone Grey (kelabu) bukan metalik, di samping warna mutiara Deep Black (hitam) dan Oryx White (putih) tanpa sebarang caj tambahan.

Harga
Golf GTI ditawarkan pada harga bermula RM211,689.54 dengan pengecualian cukai jualan. Ia juga hadir bersama penyelenggaraan percuma selama tahun, selain jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.