DIFFERENT TYPE OF R

Berbanding keluarga Civic, barisan model Accord tidak dianggap sebagai sebuah kereta berprestasi. Mungkin atas faktor rasionalisasi pasaran, menyebabkan Accord diletak pada kelas sedan lebih eksklusif di sini. Set abah-abah pun jarang pakai, kecuali digasak geng tokey-tokey.

Tapi tidak untuk yang ini. Ia sebuah Accord generasi ketujuh, yang kebanyakannya dibawa masuk sebagai model import terpakai. Dikenali sebagai CL7, ia kesinambungan kepada model CL1 generasi sebelumnya, dengan rekabentuk yang jauh lebih bojan berbanding Accord CM tempatan.

Accord CL7 Euro R kaler hitam milik Tarmizi ini, antara yang sudah ditambah baik mengikut kesesuaian. Untuk luaran, ia kini menggunakan bumper depan dan fender versi J’s Racing, selain grill, hood dan canard gentian karbon J’s Racing. Ruang belakang pula menempatkan spoiler GT Voltex Type 2 dan set diffuser J’s Racing, sebelum disudahkan dengan aksesori tambahan Mugen di sana-sini.

Disebabkan ia sebuah sedan berprestasi, tiada enjin lain yang harus digunakan kecuali siri K20A yang dikagumi. Untung dah ada enjin yang best, maka tugas seterusnya melibatkan kerja-kerja naik taraf di bahagian tertentu. Ia dimulakan dengan padanan kit piston Wiseco 86.5mm pada conrod BC Racing, diikuti proses port & polish dan penggunaan camshaft Drag Cartell 2.2 Endurance di ruang kepala silinder.

Suapan udara dibawa masuk menerusi ram udara Gruppe M. Ia akan melalui unit throttle body Super90, yang melekat kemas pada manifold kemasukan gentian karbon PracWorks. Bekalan petrol pula dibawa ke rel bahan api K-Tuned yang bertugas memegang set injektor 550cc. Membolehkan perjalanan enjin ini sentiasa di tahap optimum, ia kemudian ditala menggunakan unit ECU Hondata K-Pro.

Dalam memastikan hantaran kuasanya sentiasa jitu, sistem transmisi dilengkapi unit LSD dan set klac plet berkembar OS Giken, bersama pemacu akhir 5.46. Sebagai penutup kerja naik taraf bahagian ini, keseluruhan sistem ekzos telah dibina semula menggunakan ekstraktor dari PLM, paip tengah J’s Racing, termasuk penempatan muffler perang 5Zigen Pro Racer.

Bahagian roda menyaksikan penggunaan rim Volk Racing ZE40 yang dibalut pada tayar Nexen Nfera bersaiz 225/40ZR-18. Memberi karektor pengendalian lebih baik, sistem gantungan dibantu set suspensi boleh laras dari Claws. Sementara kuasa hentiannya datang dari kit brek AP Racing Pro 5000R pada roda depan.

Hampir keseluruhan ruang dalaman masih mengekalkan penggunaan komponen asal. Namun untuk gaya lebih premium, bahagian pemandu telah digantikan dengan tempat duduk Recaro Mugen MS-Z yang super mahal. Senarai aksesori Mugen juga boleh dilihat pada stereng, butang penghidup, tuas gear dan tombol gearnya. Sementara rangkaian gajet elektronik pula terdiri daripada meter tambahan Defi Advance A1, speed meter Pivot, paparan gear Ultra, serta pemasa enjin Apexi.

Memandangkan jumlahnya yang sangat terhad, Accord CL7 memiliki nilai pasaran yang jauh lebih stabil berbanding kereta sekelas dengannya. Jangan kata aweks-aweks kilang, yang terjebak pakai Civic hutang bank 9 tahun pun boleh jeles bila melihat susuknya di depan mata…

SPESIFIKASI