Sebelum negara dihujani kawanan kereta kompak dari pengeluar tempatan, terdapat satu zaman di mana kereta-kereta kelas sub-kompak cukup digemari. Ada siri Starlet, Swift, March, termasuk Charade mewakili barisan model Daihatsu. Walaupun bersaiz kecik, ia tidak digunakan sebagai kereta kedua seperti sekarang memandangkan kuasa membeli yang masih lemah. Bagi golongan kebanyakan, memang itulah satu-satunya kereta yang ada dan ia dimanafaatkan sepenuhnya untuk kegunaan seisi keluarga.
Menjelang tahun 1983, generasi kedua Charade G11 mula diperkenalkan. Ia direka dengan gaya lebih berkotak, mengikut trend pengeluar ketika itu. Untuk pasaran tempatan, hampir kesemuanya datang dalam bentuk hatchback 5-pintu, lengkap bersama enjin karburetor 3-silinder berkapasiti 1-liter.
Hafiz antara yang masih memperjuangkan kehebatan model ini. Mungkin ada kisah seperti dinyatakan, menyebabkan beliau begitu obses dengannya. Dia punya minat bukan setakat yang ni aje, malah pernah memiliki beberapa buah yang lain, termasuk model Aura dan Ascend. Tunggulah sikit hari lagi. Silap-silap lori Delta tu pun ada dalam senarai.
Untuk kereta ini, bahagian luar kelihatan lebih sasa selepas dipadankan dengan kit badan lengkap G11 Detomaso zaman dinosaur. Retak sikit-sikit tu adatlah, benda susah nak jumpa. Satu-satunya bahagian yang masih diburu adalah cermin sisi, yang kini menggunakan komponen milik G11 Turbo. Tidak ketinggalan penggunaan rim Bridgestone berukuran 14-inci, serta Falken Sincera bersaiz 175/65R-14.
Disebabkan komponen prestasinya yang terhad, kedudukan kereta perlu direndahkan secara kustom. Kalau tak kena gaya, memang pening jugak dibuatnya. Ia dicapai hasil penggunaan spring sport GAB untuk Kenari, dengan penyerap hentak Kayaba Mira L500 di bahagian depan. Sementara belakang menerima spring sport jenama Wings dan dipadankan bersama penyerap hentak asal G11. Begitu juga dengan kuasa hentian yang dikacuk menggunakan brek cakera Mira L500 untuk depan, serta brek cakera Charade GTTi di ruang belakang. Sebagai tambahan, kesemua cakera brek itu telah ditebuk untuk mendapatkan lebih cengkaman.
Didatangkan dengan enjin CB23 berkapasiti 993cc, kereta ini tidak dibuat untuk meraih kuasa tapi lebih mengutamakan aspek penjimatan bahan api. Teruk betul lemaunya, tak campur air langsung. Walaupun terdapat enjin keluarga Charade yang boleh digunakan, Hafiz nampaknya cuba bereksperimen dengan memasukkan enjin EJ-DE dari Daihatsu Storia sebagai pilihan.
EJ-DE adalah sebuah enjin NA tiga silinder, seperti yang dipasang pada model Kelisa dan Kenari. Bagi mendapat lebih kuasa, Hafiz memilih untuk mengadakan setup turbo gantung ke atas enjin ini. Antara yang diperlukan termasuklah unit turbo IHI RHF4 VF25, manifold turbo kustom, intercooler Charade GTTi, paip intercooler kustom, serta injap pelepas HKS SSQV. Suapan boost kemudian dibawa ke mulut throttle body Mitsubishi 4G61T yang diikat kemas pada manifold kemasukan asal.
Untuk bekalan petrol lebih konsisten, sistem bahan api dilengkapi pam petrol Epman, set injektor Denso 220cc, serta unit regulator Tomei. Sebagai pemudah cara, keseluruhan sistem pendawaian dan ECU telah digantikan dengan komponen dari enjin EF-DET. Kadar boost ditetapkan pada kadar 0.6-bar sepanjang masa. Manakala unit Blitz R-Fit bertindak sebagai alat kawalan, untuk perjalanan enjin yang lebih lancar.
Atas faktor usia, keseluruhan bahagian dalaman perlu dipelihara sebaik yang mungkin. Paling menarik kehadiran set tempat duduk G11 Detomaso, yang boleh jadi gaduh kalau kena bara surya. Bukan selalu boleh jumpa. Lain-lain perkakasan mengambil komponen milik G11 Turbo seperti meter utama, stereng dan karpet dasar merah, termasuk meter boost Defi dan pemasa enjin Apexi sebagai tambahan.
Bukan mudah membela sebuah model dengan jumlah boleh pakai yang makin terhad. Serba serbi kena kacuk dan kustom, menyebabkan ramai dah mula angkat kaki. Mujur ada pejuang seperti Hafiz, yang akan memastikan kelangsungan model ini kekal berterusan…
SPESIFIKASI
- Nama – Hafiz Hassan
- Pengeluar – Daihatsu
- Model – Charade G11
- Tahun – 1985
- Enjin asal – CB 23
- Modifikasi enjin – EJ-DE Daihatsu Storia, turbo IHI RHF4 VF25, manifold turbo kustom, intercooler Charade GTTi, paip intercooler kustom, injap pelepas HKS SSQV, penapis udara HKS, throttle body Mitsubishi 4G61T, pam petrol Epman, injektor Denso 220cc, regulator Tomei, pendawaian & ECU EF-DET, Blitz R-Fit, radiator Mira L500, tangki perangkap minyak kustom
- Transmisi – Automatik
- Ekzos – Kustom
- Luaran – Kit badan G11 Detomaso, cermin sisi G11 Turbo
- Suspensi – Spring sport GAB Kenari & penyerap hentak Kayaba Mira L500 (depan), spring sport Wings & penyerap hentak G11 (belakang)
- Brek – Mira L500 (depan), Charade GTTi (belakang)
- Rim & Tayar – Bridgestone 14-inci & Falken Sincera 175/65R-14
- Dalaman – Tempat duduk G11 Detomaso, stereng G11 Turbo, karpet dasar merah G11 Turbo, meter utama G11 turbo, meter boost Defi, pemasa enjin Apexi
- Bengkel – Wanfadz Garage, Kuala Selangor & MIG Autogarage, Selayang