Membuat dan menerima panggilan sambil memegang telefon dan stereng ketika memandu adalah satu kesalahan jalan raya. Bagaimana pula dengan melayari aplikasi penstriman atau merakam gambar dan video sambil memegang telefon dan memandu?
Ada satu kes di United Kingdom pada tahun 2019 di mana Mahkamah Tinggi telah menarik balik sabitan seorang individu berusia 51 tahun yang menggunakan telefon bagi merakam lokasi pelanggaran semasa beliau memandu. Jelas di situ terdapat lompong dan kerajaan UK mengumumkan untuk menukar undang-undang penggunaan telefon bimbit semasa memandu.
Pengumuman tersebut disambut baik organisasi keselamatan jalan raya dan kerosakan GEM Motoring Assist di UK. Di bawah undang-undang baharu, pemandu yang menggunakan telefon bimbit dengan apa cara sekalipun sambil memandu akan dikenakan denda sebanyak £200 (RM1,073) dan enam mata untuk lesen memandu. Pada masa sekarang membuat panggilan atau berbalas pesanan ringkas menggunakan telefon bimbit sambil memandu adalah satu kesalahan di UK.
Bagaimanapun, melayari senarai muzik, bermain permainan telefon atau merakam gambar tidak termasuk di dalam senarai kesalahan dan pemandu mengambil kesempatan terhadap lompong tersebut memandangkan ia tidak termasuk di dalam skop komunikasi interaktif.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif GEM, Neil Worth;
“Perkembangan terbaru untuk undang-undang ini dialu-alukan memandangkan sebarang aktiviti yang melibatkan telefon bimbit semasa memandu berpotensi untuk menjadi gangguan yang boleh membawa maut.”
Undang-undang spesifik di UK mengenai kesalahan penggunaan telefon bimbit ketika memandu diperkenalkan pada Disember 2003 dengan denda sebanyak £60 untuk setiap kesalahan dan meningkat kepada £100 pada tahun 2013.
Hukuman sekali lagi dinaikkan kepada £200 dan mata penalti digandakan pada 2017.
Pada masa yang sama GEM turut berkongsi tips ringkas mengenai telefon bimbit dan memandu:
– Anda dibenarkan menggunakan telefon bimbit semasa kereta diparkir dengan selamat, enjin dimatikan dan brek tangan diaktifkan.
– Jangan menjawab telefon dalam apa-apa situasi memandu termasuk ketika berhenti di lampu isyarat atau beratur di dalam lalu lintas.
– Satu-satunya pengecualian adalah ketika kecemasan dan tidak selamat atau tidak praktikal untuk menghentikan kenderaan dan dalam hal ini anda boleh menghubungi talian kecemasan 999.
– Jangan menganggap bahawa menggunakan alat bebas tangan bermakna anda telah terselamat dari risiko. Anda masih membiarkan diri anda terganggu dari memandu dengan selamat dan boleh didakwa kerana tidak berada di dalam kawalan (kesalahan yang boleh didenda sebanyak £100 di UK dan tiga mata penalti).
– Luangkan masa beberapa minit sebelum perjalanan untuk membuat panggilan penting atau untuk memeriksa mesej suara dan e-mel. Hebahkan kepada orang sekeliling bahawa anda tidak semestinya ada sepanjang masa.
– Rancang perjalanan anda dengan sela masa untuk berhenti rehat dan gunakan waktu tersebut untuk menghubungi, menghantar mesej atau e-mel atau berinteraksi dengan media sosial dalam persekitaran yang selamat.
Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ