Dedikasi Pasukan Bugatti Selama 2 Tahun Membuahkan Hasil

Sebaik sahaja Divo dilancarkan di Pebble Beach pada tahun 2018, Bugatti didatangi pelanggan yang mahukan sebuah unit yang lebih eksklusif dan kerja-kerja pengecatan yang lebih rumit untuk koleksi peribadinya. Apa yang difikirkan beliau adalah corak geometri seperti bentuk berlian dengan warna metalik unik yang dikenali sebagai Customer Special Red dan Graphite. Grafik ini pula direka dari hadapan membawa ke belakang untuk disepadankan dengan penampakkan bayang-bayang supercar ini.

Mudah? Jauh dari itu kerana ia memakan masa lebih setahun setengah untuk semua ahli pasukan ini melaksanakan penyelesaian dengan menggunakan data CAD, simulasi yang tidak terkira dan juga ujian semata-mata untuk mendapatkan penjajaran yang sempurna kira-kira 1,600 berlian sebelum diaplikasikan ke atas kereta pelanggan ini. Boleh dikatakan, seakan mimpi ngeri yang membuatkan pasukan ini hampir berputus harap terhadap projek ini.

Menurut Jorg Grumer, disebabkan kehendak projek ini yang memerlukan grafik 2D diaplikasikan ke atas bentuk 3D, diikuti idea dan percubaan yang gagal untuk mengaplikasi berlian, ramai yang mula berputus asa dan meluahkan rasa yang kehendak pelanggan ini gagal untuk dipenuhi. Namun, sikap tidak pernah mengalah akhirnya menjadi motivasi dan membuatkan kehendak mustahil pelanggan ini akhirnya jadi kenyataan!

Selepas satu latihan yang terakhir menggunakan kereta ujian, mereka akhirnya mengaplikasikan corak tersebut ke atas Divo. Setiap pekerja memastikan setiap satu berlian untuk beberapa hari bagi memastikan semuanya dalam keadaan sempurna sebelum kereta dilicinkan, diperiksa dan disentuh untuk buat kali terakhir.

Kini, pasukan yang terlibat menyediakan kereta ini berbangga kerana dapat menghasilkan sesuatu seperti yang diharapkan oleh pelanggan menerusi Divo yang unik ini. Kereta ini juga secara tidak langsung membuktikan kemampuan dan kreativiti pasukan Bugatti. Dinamakan sebagai Divo Lady Bug, ia diserahkan kepada pemiliknya pada awal tahun lalu dan menjadi daya penarik koleksi beliau termasuk beberapa koleksi lain seperti Vision Gran Turismo, Chiron dan Veyron Vitesse.

Menurut pemiliknya, beliau sangat teruja dengan hasil yang boleh dilihat pada Lady Bug dan bekerja bersama pasukan Bugatti memberikan satu pengalaman yang menakjubkan.

Sumber : Carscoops