Dua hari penuh warna-warni di salah satu lokasi paling ikonik bukan sahaja dikenali di Malaysia malah turut menjadi tumpuan para pengunjung dari serata dunia. Dataran Merdeka telah menjadi perhimpunan serta pertempuran para peminat audio kereta sempena penganjuran Make The Change Auto Fiesta pada 3 dan 4 Disember lalu.
Dianjurkan oleh Automotive Accessories Traders Association Of Malaysia dengan kerjasama EMMA Malaysia, program Make The Change Auto Fiesta ini turut membawakan pelbagai elemen termasuk 100 kereta Auto Show, 100 kereta yang memasuki Auto Modify Contest dan 150 kereta yang menyertai International Auto Audio Contest.
Program ini telah dirasmikan oleh Pengarah Kanan, Sektor Perdagangan, Pengedaran dan Perniagaan iaitu Dato’ Rohaizi Bin Bahari. Pelbagai aktiviti lain yang menjadi selingan turut disediakan bagi memeriahkan lagi tapak program antaranya persembahan tarian untuk menghiburkan para peserta dan juga pengunjung.
Penganjuran ini juga memberi peluang perniagaan kepada para peniaga di mana pihak penganjur telah menyediakan sebanyak 25 reruai di sepanjang tapak program yang melibatkan industri automotif juga gaya hidup. Tidak ketinggalan, sebanyak 20 buah Food Truck juga disediakan sekali gus memudahkan para pengunjung yang tidak perlu bersusah-payah mencari makanan di tempat lain.
Sekalung tahniah kepada pihak penganjur yang memastikan penganjuran program Make The Change ini berjalan dengan jayanya sepanjang dua hari ia berlangsung. Seterusnya tahniah diucapkan kepada para pemenang yang berjaya membaw pulang hadiah lumayan. Pastinya program ini bukan sahaja mengukir kenangan manis, malah mencipta kenangan indah untuk dikenang di masa akan datang.