Baru-baru ini telah berlangsungnya majlis perasmian Kelab Sukan Lasak Mengkuang Pulau Pinang (KSLMPP) oleh Yang Berhormat Senator, Tuan Amir Bin Haji Ghazali yang diadakan di Litar Mengkuang X-Treme Park. Bagi tahun pertama penubuhan KSLMPP, penghormatan ini diberikan kepada beliau selaku penaung kelab sebagai tanda terima kasih di atas sokongan serta nasihat yang dikongsikan sepanjang tempoh pembikinan tapak litar Mengkuang X-Treme Park.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa wakil dari agensi-agensi kerajaan setempat seperti KBS, AADK, Kementerian Penerangan Pulau Pinang dan MPKK setempat. Menyingkap di sebalik sejarah dan penubuhan kelab ini, ia merupakan cetusan idea adik-beradik yang juga anak jati Kampung Mengkuang, sebuah kawasan yang terletak di Pulau Pinang.
Disebabkan minat yang sangat mendalam terhadap sukan ekstrem, tercetusnya idea dan memberi inspirasi kepada adik beradik ini untuk membina satu tempat rekreasi khas berkonsepkan sukan ekstrem di kampung halaman sendiri.
Selepas persetujuan semua, segala perancangan untuk membina serta menaik taraf kawasan yang dahulunya pernah dijadikan sebagai kawasan tanaman pokok getah pun bermula. Berkeluasan hampir 1.5 hektar serta kos perbelanjaan berjumlah RM160k telah diperuntukan untuk merealisasikan projek ini. Selama hampir 6 bulan masa diambil untuk menyiapkan keseluruhan fasiliti termasuk kemudahan asas.
Selain minat terhadap sukan ekstrem, tujuan lain pihak KSLMPP adalah untuk memperkenalkan serta memajukan ekonomi masyarakat tempatan terutamanya para peniaga kecil di kawasan berhampiran. Sedikit sebanyak, usaha ini dapat membantu pihak kerajaan tempatan Pulau Pinang khususnya dari segi ekonomi dan juga meningkatkan sektor perlancongan tempatan.
Bermatlamat menjadikan sukan ekstrem sebagai salah satu teras pembikinan Mengkuang X-Treme Park, pihak KSLMPP menjemput orang ramai di luar sana yang berminat atau ingin mencuba untuk datang berkunjung ke sini. Anda boleh merasai sendiri pengalaman menaiki kenderaan All Terrain Vehicle (ATV) dan alami situasi mencabar di laluan yang dibina di tapak seluas 1.5hektar.
Bukan itu sahaja, banyak aktiviti lain turut disediakan kepada para pengunjung seperti aktiviti Bina Insan (Team Building), memanah dan banyak lagi disediakan untuk para pengunjung yang hadir. Dalam masa yang sama, anda boleh menyemai minat dan mengasah kemahiran dalam aktiviti memanah.
Menurut Encik Faisal B. Fadzil yang juga Presiden KSLMPP, bercerita tentang perancangan jangka masa panjang. Beliau mengharapkan tempat ini akan dijadikan salah satu lokasi untuk “4×4 Challenge” serta menjadi lokasi tahunan. Jika dilihat melalui trend sekarang di mana peminat sukan ekstrem kian meningkat dan semakin ramai, beliau mengharapkan rancangan ini mampu dilaksanakan.
Beliau juga mengharapkan usaha ini mendapat sokongan pihak kerajaan tempatan sekali gus menjadikan Mengkuang X-treme Park sebagai salah satu kalender penting tahunan di Pulau Pinang sebagai lokasi pertandingan “4×4 Challenge.”
Majlis perasmian yang berlangsung selama selama dua ini diakhiri dengan sesi bergambar bersama para jemputan dan rakan penaja. Ini diikuti pula dengan sesi tunggangan kenderaan ATV sebagai simbolik kepada penubuhan Kelab Sukan Lasak Mengkuang Pulau Pinang (KSLMPP) dan Mengkuang X-Treme Park yang bakal beroperasi sepenuhnya.
Jika ada sebarang pertanyaan, boleh hubungi Encik Faizal atau menerusi panggilan atau mesej di Whatsapp di nombor 010 – 819 5909 untuk pertanyaan lanjut.