Dunia modifikasi dan komuniti k-car di Malaysia terus meriah dengan kehadiran model yang semakin tular, Daihatsu Move Canbus. Baru-baru ini, peminat jentera kotak yang ikonik ini telah berjaya menganjurkan acara “Fun Drive Meet Up For Canbus Member” yang pertama seumpamanya di Malaysia. Bertempat di kedinginan Genting Highland, perhimpunan ini bukan sahaja menjadi medan pertemuan, malah sebagai tanda aras baru bagi komuniti pemilik Canbus yang semakin berkembang pesat di seluruh tanah air.
Acara yang bermula seawal jam 7:30 pagi itu menyaksikan deretan Daihatsu Move Canbus pelbagai warna mendaki jalan berliku menuju ke puncak. Program yang berakhir pada jam 3:00 petang ini menjadi platform terbaik buat para pemilik untuk menguji kemampuan jentera masing-masing, terutamanya bagi varian 660cc Turbo dan juga 1.0 NA. Walaupun bersaiz kecil, ketangkasan model ini mendaki laluan Genting Highland membuktikan bahawa prestasi k-car tidak boleh dipandang sebelah mata.
Bercerita mengenai Daihatsu Canbus, model ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri sehingga menjadi kegilaan ramai. Selain aspek penjimatan minyak yang luar biasa, reka bentuk dalamannya yang luas dan praktikal menjadikannya kenderaan harian yang sangat efisien. Paling utama, rekaan luaran yang mengekalkan rupa paras “comel” dan klasik, ditambah pula dengan varian warna soft yang estetik, membuatkan jentera ini mudah dikendalikan oleh semua golongan, terutama pemandu wanita dan golongan muda yang menyukai segmen kereta jenis KBOX ini.
Kejayaan penganjuran sulung ini turut dibuktikan melalui kehadiran peserta yang datang dari segenap pelosok negara. Bukan sahaja dari Lembah Klang, malah pemilik Daihatsu Canbus dari utara, pantai timur, hingga ke selatan tanah air sanggup memandu jauh demi menyertai pertemuan bersejarah ini. Semangat kental para pemilik ini menunjukkan bahawa minat terhadap model Canbus bukan sekadar trend bermusim, tetapi satu hobi yang menyatukan peminat automotif tanpa mengira jarak.
Di sebalik tabir kejayaan acara ini, ia merupakan hasil usaha dan koordinasi kemas yang dikelolakan oleh Wan Tacchini. Beliau selaku penganjur utama dan dibantu kawan-kawan yang lebih arif tentang canbus untuk memastikan kelancaran program, malah berjaya mewujudkan suasana santai yang membolehkan ahli bertukar pandangan mengenai penjagaan serta spesifikasi jentera masing-masing. Komitmen pihak penganjur dalam menyatukan pemilik Canbus di bawah satu bumbung mendapat pujian daripada semua pihak yang hadir.
Melihat kepada impak positif program ini, pihak penganjur sudah pun mempunyai perancangan yang lebih besar pada masa hadapan. Satu acara yang lebih eksklusif berkonsepkan “2 Hari 1 Malam” sedang dirangka, dengan sasaran untuk melibatkan jemputan khas daripada Daihatsu Malaysia. Menariknya, program akan datang turut dirancang untuk memuatkan aktiviti sukan rakyat bagi mengeratkan silaturahim antara kaum, sekali gus membuktikan bahawa komuniti automotif seperti Daihatsu Canbus ini mampu menjadi medium penyatuan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa.
Gambar oleh : Ayie Photpgraphy