Satu soalan popular yang biasa dikaitkan dengan trak pikap adalah, yang mana lebih bagus? Tanyalah kepada sapa pun, dan jawapan yang bakal diterima pasti berbeza-beza. Pulak tu tanya dalam group Triton. Takkan diorang nak cakap yang hailak lagi bagus!
Trend milikan trak pikap sebagai kenderaan persendirian merupakan antara sebab, mengapa fungsinya kini mula berubah. Banyak dah pencen dari mengangkut simen, dan kebanyakan yang ditemui berfungsi sebagai kenderaan santaian. Yang suka cabaran akan jekrod kasi tinggi mengalahkan lori. Sementara yang minat prestasi, sanggup cabot gearbox depan untuk direndahkan. Sementara yang pentingkan penampilan, akan melakukan sesuatu seperti ini.
Di kalangan pemilik trak pikap yang campur orang, anda mungkin mengenali pemilik Nissan Navara ini, orang kanan UAI yang juga pengusaha Soki Ekzos. Kerana sifatnya yang tunduk tawaduk, Shauqi mudah didekati dan sering melontar khutbah di laman sosial untuk manafaat bersama. Okey, insap kejap…
Navara Shauqi ini tidak dibuat untuk mengangkut barang weldingnya, waima sebatang rod 6013 pun ditegah dari menyelit di celah pintu. Macam orang lain, mula-mula dulu sentuh sikit-sikit. Bila merebak menjadi kesukaan, ia makin gagal dibendung terus berlarutan sampai hari ini.
Penampilan luaran pernah berubah beberapa kali, sebelum tampil dengan yang ini. Minatnya kepada motif tikar mengkuang, menyebabkan sebahagian besar komponen badan Navara ini telah dihantar untuk proses balutan kain gentian karbon. Bermula dengan bumper depan, grill, hood dan cermin sisi kustom, keseluruhan pintu, termasuk kulit luar tab belakang yang tak pernah dibuat orang. Satu lagi elemen yang cuba diterapkan adalah penggunaan set bar titanium kustom oleh Iron Bar, selain tambahan sunroof, lampu belakang LED, dan spoiler itek lentik.
Kedudukan jejak tanah dibuat menggunakan kit suspensi kustom. Bahagian roda kemudian menempatkan rim 18-inci jenis Advan RG, yang dibalut pada set tayar Sumaxx berukuran 275/40R-18. Macam tak cukup besar pulak, nak mintak tukar lainlah tuh. Sementara sistem hentian menggunakan kit brek 6-pot GReddy di bahagian depan, serta brek cakera Pajero Sport yang diubahsuai untuk belakang.
Keadaan enjin bagaimanapun masih standard adudu dengan sedikit tambahan kuasa halilintar, hasil penggunaan unit pengurusan enjin Pro Speed. Hal-hal lain lebih kepada aspek kosmetik untuk hasil yang meriangkan. Antaranya binaan paip intercooler kustom, kipas radiator aloi dan plet EGR HPD. Itu jer…
Perkara yang sama turut berlaku di bahagian dalam. Hampir semua komponen mudah tanggal, telah dihantar untuk proses balutan kain gentian karbon. Antaranya bahagian trim dashboard, konsul tengah, pilar, stereng, termasuk keseluruhan panel pintu.
Tempat duduk depan dihuni sepasang bucket gentian karbon rekaan Tanutong Polymer. Bagi memisahkan ruang depan dan belakang, bar titanium Iron Bar telah dipasang pada tiang pilar B. Paling wayang, hamparan doblas meter tambahan Defi, selain dua unit Defi ZD, unit ECUShop Monster Gauge, unit RSM Apexi, serta meter blower Auto Meter. Tengok tak tengok belakang kira, janji penuh meja.
Naik taraf dilakukan Shauqi menyebabkan Navara ini, langsung tak kenal maksud beban atau lumpur. Bawak aweks ngan anokweks jalan-jalan pun tidak. Untung betul jadi Navara Coki Coki…
SPESIFIKASI
- Pemilik – Shauqi
- Pengeluar – Nissan
- Model – Navara D40
- Tahun – –
- Enjin asal – YD25DDTi
- Modifikasi Enjin – Paip intercooler kustom, kipas radiator aloi, plet EGR HPD, ECU Pro Speed
- Transmisi – Automatik
- Ekzos – Kustom
- Luaran – Bumper depan, grill, hood kustom, cermin sisi kustom, pintu & tab belakang gentian karbon, bar titanium Iron Bar, sunroof, lampu belakang LED, spoiler kustom
- Suspensi – Kit suspensi kustom
- Brek – Kit brek 6-pot GReddy (depan), brek cakera Pajero Sport (belakang)
- Rim & Tayar – Yokohama Advan RG 18-inci & Sumaxx 275/40R-18
- Dalaman – Trim dashboard, konsul tengah, pilar, stereng & panel pintu gentian karbon, tempat duduk gentian karbon Tanutong Polymer, hub stereng Works Bell, bar titanium pilar B Iron Bar, meter Defi, Defi ZD, ECUShop Monster Gauge, RSM Apexi, meter blower Auto Meter
- Bengkel – Mr Carbon, Adam Photography, GTR Shop, TY Performance, BG Custom, Yas Custom Carbon Fiber, WMH Tyre, Carroof Motorsport