Pengkritik zaman sekarang memang gemar memberi komen. Bukan sahaja tentang politik, filem, lagu atau rekaan kereta terbaharu, skrin sesentuh juga tidak terlepas menjadi mangsa. Ada yang mengatakan, butan fizikal jauh lebih hebat berbanding skrin infotainment tetapi, adakah ia sekadar kritikan kosong atau ada bukti yang boleh menyokong kenyataan ini?
Menurut laporan yang disediakan portal Carscoops, terdapat kajian lengkap yang disediakan Vi Bilägare dari Sweden yang menyokong kenyataan kritikan ini. Pihak penerbitan Sweden ini telah melakukan ujian ke atas 11 buah kenderaan dengan skrin sesentuh infotainment berbanding kereta Volvo V70 tahun 2005 yang dikatakan lebih mudah dikendalikan. Bagi mendapatkan jawapannya, setiap pemandu untuk kereta yang dipilih untuk melakukan beberapa ujian mudah.
Para pemandu diminta untuk mengaktifkan pemanas tempat duduk, meningkatkan suhu dalam kabin sebanyak dua darjah dan memulakan penyahbeku, menghidupkan radio serta menala ke stesen yang lebih spesifik; set semula komputer, merendahkan pencahayaan panel instrumen kepada aras terendah.
Semua tugasan yang selalu dilakukan pemandu ketika memandu kereta. Dalam kereta Volvo V70 yang berusia 17 tahun, pemandu mengambil masa hanya 10 saat untuk melengkapkan semua tugasan. Pada kelajuan tertinggi 110km/j, pemandu mampu melengkapkan kesemuanya pada jarak 300 meter.
Hanya dua kereta moden yang mampu melengkapkan tugasan ini dalam masa 10 saat dan kenderaan yang mempamerkan keputusan paling buruk, MG Marvel R. Pemandu mengambil masa 44.9 saat untuk melengkapkan kesemua tugasan tadi. Dalam masa yang sama, kenderaan itu telah pun bergerak sejauh 1.3km!
Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, banyak masa digunakan pengguna dan hilang fokus terhadap pemanduan di atas jalan raya kerana menumpukan kepada menu navigasi. Tambahan pula, butang fizikal memberikan sentuhan yang mana mudah dikendalikan dengan hanya menyentuhnya tanpa mengalihkan fokus dari pemanduan.
Bagaimanapun, bukan semua skrin infotainment itu tidak baik. Pihak penerbitan yang menjalankan kajian ini mendapati Volvo C40 dan Dacia Sandero mempunyai prestasi sama seperti Volvo V70 yang memakan masa selama 13.7 saat dan 13.5 saat. Mungkin kerana kekurangan fungsi relatif membuatkan ia lebih mudah dikendalikan.
Menurut pasukan Vi Bilägare, walaupun BMW iX menggunakan kombinasi butang fizikal dan skrin sesentuh, ia masih lagi sukar dikendalikan dan pemandu memerlukan masa selama 30.4 saat untuk melakukan semua tugasan ringkas tadi. Pemandu terpaksa mengambil masa yang lama walaupun diberikan peluang untuk mengenali fungsi dan cara mengendalikan sistem infotainment setiap kereta sebelum ujian dilaksanakan.
Secara keseluruhannya, kereta dengan sistem skrin sesentuh infotainment yang diuji, pemandu mengambil masa sekurang-kurangnya 24.7 saat untuk menyelesaikan semua tugasan yang diberikan, hampir 2.5 lebih lama dari sistem tanpa skrin sesentuh. Ia juga menjadi tugasan penting untuk pereka kenderaan untuk mereka model-model yang akan datang. Atasi masalah ini!
Sumber : Carscoops