Kisah kereta ini telah menjadi bualan masyarakat, selepas kemunculan pertamanya dalam acara Art Of Speed baru-baru ini. Itu pun kalau kau tak duduk bawah tempurung lah. Sebelum ini, kelibatnya hanya terpampang di laman Insta dan Facebook. Bila bersua di depan mata, ramai yang kagum melihat usaha Eddy dan kroni ColorPro Auto, menyiapkan projek yang agak radikal ini. Semuanya cukup kemas dan teliti, meliputi keseluruhan bahagian luar, enjin dan ruang dalaman.
Ketika dibina awal tahun lalu, Eddy telah menetapkan matlamat untuk menghasilkan sebuah jentera lumba yang lain dari ritma kebanyakan. Memandangkan beliau seorang kaki autoshow dan pemilik perniagaan deko kereta, elemen tersebut cuba diserap sama bagi memberi aura tambahan kepada kereta ini.
Tarikan pertama melibatkan bahagian luaran yang dibina menggunakan casis Mira L500. Sebaik ditogelkan, mana-mana komponen kurang perlu telah disisihkan termasuk mengikis keseluruhan tar dan cat yang melekat pada badannya. Bukan pakai peluntur cat yer, tapi menggunakan teknik sand blasting sepenuhnya. Lain-lain komponen yang turut membantu termasuklah cermin sisi gentian karbon, lampu projektor kustom, binaan arch roda kustom, skup radiator kustom, serta penggunaan kepingan perspex untuk keseluruhan cermin belakang.
Ada orang obses kaben. Maka ditompok-tompoknya bahagian luar kereta, dengan komponen gentian karbon. Yang minat tukar kaler pulak, balutan stiker badan pastinya lebih mudah dan sesuai. Namun bagi yang suka nampak kilat dan berayor, kaedah mengecat masih lagi relevan walaupun memerlukan penjagaan khusus. Untuk kereta ini, Eddy telah menggunakan bancuhan kaler Aikka Brilliant Illusion yang memiliki efek lima tona sebagai pilihan. Memang mereciklah jadinya.
Ruang roda mengandungi rim VMS Racing dengan set tayar slick Hoosier dari saiz berbeza. Depan pakai 24.5/8.0-13, manakala belakang diberi saiz 24.0/5.0-15. Sistem gantungan menggunakan set suspensi boleh laras kustom di bahagian depan. Manakala ruang belakang hanya ditongkat sepasang penyerap hentak yang sudah mati. Bagi menghentikan kereta pada waktunya, memadai dengan brek Mira L500 di bahagian depan.
Seterusnya binaan enjin. Jika diamati betul-betul, kereta ini tidak menggunakan enjin keluarga Mira seperti yang digunakan oleh pemain drag tempatan. Ia sebaliknya dibina menggunakan blok enjin CB70 Charade GTTi sebagai asas, sebelum diperkukuhkan dengan set piston forged 80mm. Percaya dengan kemampuan cam jenis sebatang, bahagian atas kemudian telah dikacuk dengan kepala silinder SOHC dari enjin CB23 Charade G100.
Untuk sistem pendesak, suapan udara dibawa terus ke mulut turbo HKS GT. Ia ditenggek pada manifold turbo kustom, yang sengaja dibina tinggi menjangkau awan. Baru ada gaya. Keperluan bahagian ini disedapkan lagi dengan pemasangan wastegate Turbosmart Comp-Gate 40, serta injap pelepas GReddy Type RZ. Sebaik disejukkan oleh sistem intercooler ais dari Sard, jumlah boost yang diperlukan akan dibawa masuk menerusi throttle body Super90 yang melekat kemas pada manifold kemasukan Charade HD-E kustom.
Bekalan bahan api memadai dengan tangki petrol Works Engineering sebesar 10-liter. Ia dibawa ke rel bahan api kustom oleh pam petrol Exilir. Pancitan ke kebuk pembakaran seterusnya ditugaskan kepada set penyuntik Exilir 1350cc. Manakala kadar tekanan yang diperlukan, dilaras menggunakan unit regulator AVS.
Dari sini, campuran yang terbentuk akan dinyalakan oleh pek koil jenis COP. Bagi mengawal parameter enjin pada kadar optimum, ia telah ditala menggunakan unit EMS dari Link G4. Memastikan kuasa yang diraih tidak sia-sia, tujahan pecutan kini dibantu kotak jenis dogbox yang ditempah khas dari tuner di Jepang. Nisbah gearnya jangan tanyalah, dah tentu kena simpan sebagai rahsia kelajuan.
Sistem sejukan juga diberi perhatian sewajarnya. Akibat ruang yang terhad, sebahagian komponen ini perlu dialihkan ke ruang dalam kereta. Antaranya penempatan pam air elektrik Davies Craig, tangki ais intercooler, juga radiator aloi di sisi tempat duduk belakang. Lebihan udara panas yang terbentuk, kemudiannya dihala keluar menerusi binaan corong khas terus ke bawah lantai kereta.
Sudut dalaman masih mengekalkan bentangan dashboard asal. Sesuai dengan tugas barunya, beberapa komponen penting perlu disediakan seperti, tempat duduk Sparco REV, stereng Auto Garage, tombol gear Sparco, serta binaan roll cage kustom. Bantuan pemantauan datang dari paparan digital AiM MXS Strada, sekaligus menidakkan penggunaan meter tambahan.
Keupayaan kereta ini di pentas autoshow telah terbukti apabila memenangi kategori Best Paint di acara Art Of Speed. Tapi kemampuannya di litar drag belum lagi diuji. Apa pun konsep yang cuba diketengahkan merupakan sesuatu yang harus kita puji.
SPESIFIKASI
-
-
- Pemilik – Eddy
- Pengeluar – Daihatsu
- Model – Mira L500
- Tahun –
- Modifikasi Enjin – Blok CB70 Charade GTTi, piston forged 80mm, kepala silinder SOHC CB23 Charade G100, cam pulley kustom, pulley pam minyak kustom, turbo HKS GT, manifold turbo kustom, wastegate Turbosmart Comp-Gate 40, injap pelepas GReddy Type RZ, intercooler ais Sard, throttle body Super90, manifold kemasukan Charade HD-E kustom, pam air elektrik Davies Craig, tangki ais intercooler, radiator aloi, corong radiator kustom, tangki petrol
Works Engineering, rel bahan api kustom, pam petrol Exilir, penyuntik Exilir 1350cc, regulator AVS, pek koil COP, EMS Link G4 - Transmisi / Gearbox – Dogbox kustom
- Elektronik / ECU –
- Ekzos – Kustom
- Suspensi – Kustom
- Brek – Mira L500 (depan)
- Rim & Tayar – VMS Racing & Hoosier 24.5/8.0-13 (depan), 24.0/5.0-15 (belakang)
- Dalaman – Dashboard Mira L500, tempat duduk Sparco REV, stereng Auto Garage, tombol gear Sparco, roll cage kustom, paparan digital AiM MXS Strada
- Luaran – Cermin sisi gentian karbon, lampu projektor kustom, arch roda kustom, skup radiator kustom, cermin perspex, Aikka Brilliant Illusion
- Bengkel – ColorPro Auto, Skudai Johor
-