Bukan Empat Tapi Dua Pintu Pemikat Kalbu!

Jentera yang dipaparkan kali ini bukan kepunyaan orang biasa-biasa. Siapa yang tak kenal brother Haziq? Beliau merupakan seorang peminat tegar jentera Volkswagen dan kalau nak tahu, sehingga sekarang beliau memiliki beberapa buah Golf GTi termasuklah Golf MK7 R! Phewww… berpeluh dahi mat!

Golf GTi MK6 milik beliau sedikit unik berbanding asal kerana didatangkan dengan 2 pintu, tidak seperti model-model lain yang ada di Malaysia di mana kebanyakannya ada 4 pintu. Khabarnya, model seperti ini tidak banyak ada di sini dan beliau salah seorang yang bertuah kerana memilikinya. Model ini juga kalau tak silap bukannya datang dalam keadaan spesifikasi sama seperti yang lain kerana sedikit rendah dan berbeza dengan yang ada di pasaran negara kita.

Disebabkan dua pintu, maka tertariklah brother Haziq untuk memilikinya. Saudagar kedai Vape Seremban ni pastinya tidak membenarkan jenteranya dalam keadaan biasa-biasa sahaja. Dah lama main Golf, takkan nak bawak standard pekak kan! Maka, beliau telah memberi kepercayaan kepada pihak Clovertech untuk mengubah suai serta menaik taraf keseluruhan jentera ini.

Bukan sekadar mainan biasa. Bak kata Haziq, sukar untuk menceritakan rombakan yang telah dilakukan oleh pihak Clovertech terhadap nadi jenteranya ini. Sesebuah enjin jentera ‘conti’ tidak seperti JDM yang senang untuk kita celotehkan, berbeza dengan Golf. Dari enjin, gearbox sehinggalah ecu, segalanya telah dinaik taraf oleh pihak Clovertech. Apa yang beliau tahu, start, isi minyak, hentam… (ehem ehem… banyak rahsia ni).

Sistem suspensi jentera ini dikuasakan oleh Bilstein B8. Kedudukan badan jentera ini boleh dilaraskan mengikut kesesuaian ketinggian serta tahap keselesaan yang dimahukan. Sistem breknya pula diperkasakan oleh kaliper Brembo 6 pot di bahagian depan manakala belakang masih lagi dari kaliper yang asal.

Ruang dalamannya tampak rapi dengan panel-panel dari bahan gentian karbon serta stereng juga dari bahan yang sama. Tiada apa yang perlu diubah kerana semuanya mampu memberi keselesaan kepada pemiliknya.
Warna luarnya hasil kerja tangan dari Bandi Sprayworks dipadankan dengan hood depan, fender serta spoiler belakang dari bahan gentian karbon. Rim Wedsport TC 105 berukuran 18 inci dibaluti tayar Michelin Pilot Sport 4s memastikan penampilan jentera ini tampak lebih hebat serta mempunyai cengkaman lebih baik ketika kuasanya dipacu di atas jalan raya.

Spesifikasi
Kereta : Volkswagen Golf GTi MK6 (2 pintu)
Modifikasi Enjin : 2.0 GTI, Powered by Clovertech
Transmisi / Gearbox : AUTO DSG
Elektronik / ECU : Clovertech
Suspensi & Cesi : BILSTEIN B8
Brek : BREMBO 6 Pot
Roda & Tayar : Wedsport TC105 18”, tayar Michelin Pilot 4s
Dalaman : Stereng carbon, dashboard interior CF
Luaran : Hood depan CF, fender CF, spoiler CF, BANDI SPRAYWORK (warna)
Bengkel & Tuner : CLOVERTECH GARAGE/. PROBATION E
Pemilik : HAZRIQ97