Kebanyakan pengeluar kereta menggunakan tanah liat untuk menghasilkan kereta dalam menyempurnakan rekaan model terbaharu mereka. Cara yang sama telah digunakan oleh salah sebuah channel di Youtube, NHET TV yang berjaya menghasilkan kereta idaman mereka. Bugatti Chiron!
Sekiranya anda sudah menonton channel ini, pasti setuju yang dengan bakat, kesabaran dan juga kemahiran, sesiapa juga mampu membina sebuah kereta. Walaupun ia sekadar kereta yang dibina dengan menggunakan tanah liat.
Bagi membina Bugatti Chiron mereka, Youtuber ini telah membina rangka terlebih dahulu dari besi sebagai asas kereta kemudian disalutkan dengan tanah liat menggunakan tangan. Sekurang-kurangnya, 2 minggu dan 19 jam setiap hari telah diluangkan untuk menyempurnakan model ini. Apa yang lebih menakjubkan, mereka merujuk sebuah kereta Chiron yang bersaiz jauh lebih kecil.
Walaupun tidak siap sepenuhnya tetapi hasil akhirnya tetap menakjubkan. Dan sudah tentu, ia tidak boleh berfungsi tetapi masih lagi mempunyai rupa sebuah Bugatti Chiron yang sebenar. Boleh dikatakan, Bugatti sering menjadi pilihan. Sebelum ini, kita pernah melihat Bugatti dari besi buruk, dibuat dengan kayu dan sekarang, dibuat dari tanah liat. Selepas ini, apa pula?
Sumber : Carscoops / NHET TV