Berlangsung Selama 4 Hari, Dihangatkan Hadiah Cabutan Bertuah Paling Lumayan!

Lebih 400,000 pengunjung membanjiri Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang sempena penganjuran Malaysia Modifighter Festival (MFF), sekali gus menjadikannya antara acara automotif terbesar pernah dianjurkan di negara ini. Kehadiran luar biasa itu dipacu oleh tawaran cabutan bertuah yang menampilkan 20 buah kereta dan 10 buah motosikal impian sebagai hadiah utama, sekali gus mencetuskan fenomena tersendiri dalam kalangan peminat automotif.

Antara hadiah yang menjadi tumpuan termasuk model ikonik seperti Nissan Skyline R34, Honda Civic, Mitsubishi Lancer Evolution, Subaru Impreza dan Honda Integra, selain beberapa lagi jentera impian. Tawaran hadiah berskala besar ini menjadikan MFF bukan sekadar festival automotif biasa, malah sebuah acara yang benar-benar menggegarkan arena tempatan.

Selain cabutan bertuah, MFF turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan yang menarik. Antaranya ialah aksi drift, autoshow, pertandingan 2 Step, konsert hiburan, pameran kereta Formula 1 Petronas, pertunjukan bunga api serta kehadiran deretan booth jualan yang memenuhi keperluan peminat automotif dari pelbagai lapisan.

Festival selama empat hari ini dianjurkan oleh Choii Motorsports dengan konsep gabungan riadah keluarga dan automotif. Menurut Faris Azri dari Choii Motorsports, MFF yang dianjurkan ini hanyalah permulaan kepada perancangan yang lebih besar pada masa hadapan.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk membawa Malaysia Modifighter Festival ke negeri-negeri lain, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai peminat automotif di seluruh negara untuk merasai pengalaman festival berskala besar seperti ini.

Sebagai penutup, penghargaan turut diberikan kepada para peminat yang hadir dan memberikan sokongan padu sepanjang acara berlangsung. Malah, ada juga para peserta dari negara jiran datang sekali gus menyemarakkan lagi festival ini. Sokongan komuniti automotif tempatan ini menjadi antara faktor utama kejayaan MFF sebagai sebuah festival yang mencipta impak besar.