Bekerjasama Perkukuh Teknologi Stereng, Tandakan Era Baharu Industri Automotif di Malaysia

Syarikat KYB-UMW Malaysia Sdn. Bhd. (KYB-UMW) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Hubei Henglong Automotive System Group Co. Ltd. (Hubei Henglong) dari China bagi membentuk kerjasama strategik dalam bidang pembuatan komponen automotif. Perjanjian ini membuka ruang baharu untuk meneroka pasaran OEM (Original Equipment Manufacturer) dan REM (Replacement Equipment Manufacturer) di Malaysia serta rantau ASEAN.

Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di UMW High Value Manufacturing Park telah disempurnakan oleh Encik Yuji Ito, Pengarah Urusan KYB-UMW Malaysia, dan Encik Gan Hongjun, Naib Presiden Kanan Hubei Henglong Automotive System Group Co. Ltd. Turut menyaksikan majlis tersebut ialah En. Ami Akhram Abdullah, Pengarah Pembuatan dan Kejuruteraan Sime UMW, serta Encik Ricky Yang, Naib Presiden Hubei Henglong. Hadir sama ialah Dato’ Mustamir Mohamad, Pengarah Urusan Sime UMW.

Kerjasama ini menandakan langkah penting KYB-UMW dalam memperluas kepakaran mereka ke bidang teknologi stereng, termasuk pembuatan tempatan bagi komponen Electric Power Steering (EPS) dan Manual Steering Gear (MSG). Berdasarkan perjanjian tersebut, Hubei Henglong akan memberi hak eksklusif kepada KYB-UMW untuk mewakili dan memasarkan produk sistem stereng keluarannya di Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukan KYB-UMW sebagai rakan strategik tempatan utama.

Inisiatif ini turut menyokong agenda nasional Malaysia untuk memperkukuh sektor pembuatan bernilai tinggi serta meningkatkan tahap lokalisasi dalam rantaian bekalan automotif. Ia dijangka mempercepatkan pembangunan keupayaan teknologi tempatan dan membuka peluang baharu bagi industri automotif Malaysia menembusi pasaran serantau.

Menurut Dato’ Mustamir Mohamad, Pengarah Urusan Sime UMW, “Kerjasama ini membuka peluang jangka panjang untuk KYB-UMW melangkah lebih jauh dalam rantaian nilai automotif. Bekerjasama dengan Hubei Henglong membolehkan kami memindahkan teknologi stereng moden ke dalam pasaran tempatan, sekali gus meletakkan asas kukuh bagi fasa pertumbuhan seterusnya.”

Naib Presiden Hubei Henglong, Encik Ricky Yang, turut menyatakan keyakinan terhadap potensi kerjasama ini. “Kerjasama dengan KYB-UMW merupakan langkah penting dalam strategi pertumbuhan serantau kami. Dengan menggabungkan kepakaran Henglong dalam teknologi stereng termaju dan kekuatan KYB-UMW dalam keupayaan pembuatan tempatan, kami yakin dapat menawarkan sistem stereng berkualiti tinggi yang dihasilkan di Malaysia untuk pasaran tempatan dan ASEAN.”

Melalui MoU ini, kedua-dua pihak bukan sahaja memperkukuh kehadiran masing-masing dalam industri automotif Asia Tenggara, malah bersama-sama menyumbang kepada matlamat Malaysia menjadi hab pembuatan automotif berteknologi tinggi di rantau ini.