Bakal Muncul Di Tokyo Auto Salon Januari Ini!

Berita baik untuk peminat Honda di Jepun kerana berpeluang melihat Civic Type baharu yang bakal dipertontonkan di sana Januari nanti. Hatchback generasi terkini ini bakal dipamerkan di Tokyo Auto Salon 2022 yang berlangsung dari 14 hingga 16 Januari. Bagaimanapun, ia bukan penampilan Type R yang rasmi kerana hanya kereta prototaip yang dibaluti camouflage yang dipamerkan.

Justeru, tidak banyak informasi yang dikongsikan Honda tentang model ini khususnya dari sudut prestasi. Selain itu, ia juga dikatakan bakal muncul dalam video pandu uji yang penuh aksi sekaligus memberi peluang untuk pengunjung yang hadir melihat sendiri Type R ini. Malah, menurut Motor1, Honda ada memaklumkan bahawa Type R ini hanya akan membuat penampilan pertamanya tahun hadapan dan ia juga dikatakan sebagai model terbaik antara yang pernah dikeluarkan sebelum ini.

Beberapa gambar dan video yang dikongsikan sekurang-kurangnya memberikan gambaran awal tentang model ini. Apa yang pasti, ia mengekalkan kuasa 4-silinder dan menggunakan pacuan roda hadapan dengan transmisi manual. Menerusi video yang disiarkan dari Nürburgring menunjukkan bagaimana hatchback ini memasuki selekoh dengan kelajuan serta kestabilan yang menakjubkan. Malah, bunyi pun taklah seteruk mana.

Difahamkan, prototaip Type R ini akan menyertai pesaing-pesaing lain dari Subaru, Nissan dan Mitsubishi di acara tersebut. Konsep elektrik STI baharu juga akan menghiasi reruai Subaru dan Mitsubishi pula akan mempamerkan konsep Ralliart. Bagi Nissan pula, ia akan membawa Z baharu sebagai penampilan pertamanya yang rasmi di Jepun dengan konsep on-off.

Sumber : Motor1