Bakal Dipasarkan Di Seluruh Dunia Termasuk Malaysia

OMODA 5, model pertama di bawah siri produk OMODA global baharu Chery, telah dilancarkan secara rasmi di China. Pelancaran tersebut berlangsung di Shenzhen pada 12 Julai lalu, menjadikan China pasaran pertama untuk menerima SUV tersebut.

Timbalan Pengurus Besar Chery Automobile Co Ltd dan Pengurus Besar Pemasaran Jia Yaquan berkata OMODA 5 direka berdasarkan keperluan dan kehendak golongan muda, dan bertujuan untuk memaparkan Chery baharu yang lebih menarik kepada pengguna global melalui ciri-cirinya yang berteknologi tinggi.

OMODA 5 dilengkapi dengan teknologi pintar, reka bentuk bergaya dan kuasa cekap. Falsafah reka bentuk ‘Art in Motion’ baharu Chery memberikan OMODA 5 keseimbangan statik dan dinamik dengan memanfaatkan cahaya dan bayang-bayang. Gril hadapan diamond-cut geometric matrix tanpa bingkai memanjang dari bahagian tengah ke kedua-dua sisi, seolah mencipta parallel universe di mana impian sepadan dengan realiti.

Konsep parallel universe ini mencerminkan gaya hidup golongan muda yang mencari kebebasan dan keindividuan melalui aktiviti sosial, serta gemar berkongsi pemikiran dan idea di dunia maya. Matlamat ‘Art in Motion’ adalah untuk menjadi falsafah reka bentuk yang sesuai bagi golongan muda dalam era baharu, sekaligus menerajui trend dalam reka bentuk automotif global.

Kuasa cekap datang daripada enjin 1.6 TGDI yang menghantar 197 PS dan 290 Nm tork ke roda hadapan melalui transmisi klac berkembar tujuh kelajuan, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.8 saat. Selain itu, mod Super Sport menyediakan pengalaman pemanduan yang mengujakan, disertakan bunyi simulasi yang ditala secara profesional.

Dari sudut teknologi pintar, OMODA 5 dilengkapi Lion 5.0 AI technology smart cockpit generasi terbaharu Chery. Antara ciri-cirinya adalah pemantauan dan pelarasan emosi AI, skrin 24.6 inci yang menggabungkan maklumat pemanduan dan infotainmen, serta sistem audio Sony dan pencahayaan ambien berirama 64 warna yang menyediakan suasana audio-visual yang menghiburkan. Selain itu, kabin ‘C-Pure’ Chery menggabungkan teknologi perlindungan alam sekitar dan reka bentuk ekologi piawaian Eropah, sambil menjaga kesihatan para penumpang melalui sistem penulenan dan penapisan udara ion negatif.

Pelancaran OMODA 5 menandakan satu langkah penting dalam pembaharuan jenama global Chery – model tersebut menyasarkan pelbagai pasaran di seluruh dunia, termasuk Malaysia.