Kemeriahan deruman enjin, aksi autoshow, serta pelbagai gelagat pengunjung dan peserta telah menghiasi penganjuran acara Proton VS Perodua Day Vol 4. Program automotif berskala besar yang dibawakan oleh penganjur utama, SH Event Automotive, ini telah berlangsung selama dua hari pada 8 dan 9 Ogos 2026 bertempat di MAEPS Serdang.
Perjalanan acara dimulakan pada hari pertama, iaitu Sabtu, yang menyaksikan penglibatan kenderaan jenama Proton mengambil tempat. Manakala pada hari Ahad, 9 Ogos, giliran kenderaan jenama Perodua pula membanjiri tapak acara. Program ini berjaya menarik kehadiran pengunjung serta peserta yang datang dari seluruh Semenanjung Malaysia.
Sepanjang dua hari penganjuran, pelbagai pengisian dan aktiviti menarik telah disediakan kepada orang ramai. Antaranya termasuklah pertandingan autoshow, audioshow, pertandingan ekzos, pameran serta jualan daripada para penaja, dan tidak ketinggalan persembahan konsert daripada para artis yang turut memeriahkan suasana.
Bagi mengendalikan segmen pertandingan, pihak penganjur telah bekerjasama dengan BKGK untuk menganjurkan pelbagai kategori acara. Antara pertandingan yang dijalankan di bawah pengendalian BKGK adalah autoshow kereta, pertandingan ekzos, split fire, audioshow, serta limbo stance.
Sambutan yang diterima bagi penyertaan autoshow sepanjang dua hari tersebut adalah sangat menggalakkan. Pihak BKGK dilaporkan telah menerima hampir 2,000 penyertaan secara keseluruhannya. Selain penglibatan BKGK, penganjuran acara ini turut dijayakan bersama sokongan rakan penaja dengan Kedai Emas Sri Semantan bertindak sebagai penaja utama.
Acara gilang-gemalang ini akhirnya mengabuhkan tirai dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan autoshow. Syabas dan tahniah diucapkan kepada pihak BKGK kerana telah berjaya menganjurkan pertandingan autoshow berskala besar ini dengan jayanya.