Manusia tidak pernah puas. Sebenarnya, tak salah pun kalau ada keinginan untuk mahukan sesuatu yang lebih bagus. Apatah lagi bila ia berkaitan dengan sistem audio dalam kereta. Bagi pencinta audio tegar, mustahil tadah aje telinga dan pasrah dengan apa yang keluar dari sistem audio subsidi. Betul tak?
Demi mencari kepuasan itu, bro Jack telah pun pergi ke Jazz Tech Audio di Cheras untuk rombakan audio yang ada pada kereta Vios miliknya. Bagi makluman, sistem audio dalam Vios ini pun dah kira lengkap. Semua dah ada; android player, full range speaker dan subwoofer tetapi kerana nak memuaskan kehendak hati, menepati citarasa dan yang paling penting tuning yang betul, bro Jack gigih berjumpa salah seorang sifu audio, Nick Cheong.
Bagi mendapatkan penalaan dan audio yang lebih baik, Nik Cheong memulakan proses rombakan dengan Digital Signal Processor atau DSP Lenovo Music Book Pro (Black). Fungsi DSP ini adalah untuk tuning audio yang lebih baik berbanding crossover. Apa yang lebih menarik, ianya mudah dipasangkan dengan menggunakan soket plug and play.
Jadi, tiada masalah untuk pengguna yang baharu sahaja membeli kereta kerana ia tidak melibatkan pemotongan apa-apa wayar atau pengubahan mana-mana bahagian dalam kereta. Pendek kata, tidak ada masalah atau isu void warranty!
Seterusnya, bro Jack menambah set speaker Dominations 2 way 6″ RS62 bersama tweeter. Selain itu, Nick Cheong turut menggunakan aluminium spacer yang berfungsi membolehkan speaker dipasangkan dengan ukuran yang tepat tanpa perlu menebuk lubang. Betul-betul muat dan tak bergoyang. Diikuti dengan foam yang mempunyai fungsi sama. Kemudian, seunit amplifier 4 channel Nakamichi, NGTA 70.4 yang disepadankan oleh kabel RCA 2 meter dari Mohawk.
Bagi mendapatkan paduan bunyi yang mantap, padu dan betul-betul sedap masuk ke corong telinga, Nick Cheong telah menggunakan sound proofing dari Dynamat dan juga Mohawk foam. Pemasangan kedua-dua jenis sound proofing ini akan menghasilkan bunyi padu yang sedap didengar sekaligus menyingkirkan bunyi bising (noise) yang tidak diingini. Lebih fokus terhadap bunyi yang dihasilkan. Pemasangan sound proofing yang menyeluruh (luar dan dalam pintu) adalah lebih baik kerana ia membantu untuk mendapatkan kepadatan bunyi yang dihasilkan oleh speaker.