Acura TLX Type S Kembali!

Salah satu jenama dari Jepun yang mempunyai pengaruh besar dalam pasaran di negara-negara barat adalah jenama Acura. Penampilan kereta-kereta Acura langsung tidak menunjukkan yang jenama ini berkait rapat dengan Honda. Bagi kekal laris di pasaran luar, Acura ada resepi tersendiri menerusi model jalanan berprestasi tinggi, Type S.

Namun begitu, sudah agak lama Type S ini hilang dari radar. Kini setelah satu dekad, Type S kembali semula menghiasi ruang pameran Acura dengan model Acura TLX memakai lencana yang diperakui sebagai sebuah model sedan berprestasi tinggi.

Dipertontonkan sebagai model konsep Type S pada tahun 2019, ia direka sebagai sebuah kereta premium tanpa mengorbankan keselesaan pemanduan seharian terhadap generasi kedua model Acura TLX ini. Menurut laporan, model Type S ini mempunyai kecepatan 25% berbanding model standard TLX ketika memecut 100 km/j. Malah kelajuan tertinggi juga berjaya ditingkatkan kepada 155 mph (249 km/j) berbanding 130 mph (209 km/j).

Segala keupayaan yang bertenaga ini disalurkan melalui trenkausa 3.0 liter V6 lengkap dengan pengecas turbo dengan kuasa maksimum 355 HP dan tork 354 lb.-ft. Enjin yang berkuasa ini dipadankan pula dengan kotak gear automatik 10 kelajuan. Malah TLX Type S ini turut dipadankan dengan Super Handling All-Wheel Drive™ (SH-AWD®) bagi pemanduan yang lebih jitu.

Sebagai sebuah kereta yang berkuasa, beberapa komponen berprestasi tinggi turut digunakan bagi mengimbangi kuasanya. Sistem Electro Servo Braking turut diaplikasikan terhadap model ini, sama seperti yang terdapat pada model NSX. Brek dari Brembo dengan diameter yang lebih besar telah digunakan dan hasilnya keupayaan memberhentikan kenderaan daripada kelajuan 100 km/j telah dipertingkatkan sehingga 13%.

Dari segi pemanduan pula, pemandu boleh memilih mode Normal, Comfort, Sport dan juga Sport+ yang merupakan ciri tambahan terhadap model Type S ini. Ruangan kabin pemandu turut diberikan penekanan keselesaan. Tempat duduknya kini mempunyai ciri boleh laras dengan 16 cara.

Ruangan kabin TLX Type S ini juga digabungkan dengan ciri mewah dan sporty. Sudah tentu logo Type S disulam rapi pada bahagian kepada tempat duduk yang dibalut dengan Ultrasuede. Sebagai penyedap halwa telinga, 17 speaker ELS STUDIO 3D premium sistem audio turut tersedia.

Sumber : mekanika