Kalau citer pasal modifikasi Accord, kisahnya mesti berkisar tentang model SM4 dan SV4 sahaja. Adalah sebijik dua model bangsawan macam CL1 dan CL7. Tapi model pertengahan seperti S84 tempatan, sebenarnya kurang mendapat tempat dan sering dikaitkan dengan imej kereta tokey.
Apa pun alasannya, Accord dilihat agak ke belakang berbanding barisan Civic yang lebih digemari. Ia tidak berorentasikan kelajuan, selain saiznya yang besar lagi berat. Tak boleh salah jugak sebab ia memang dibina sebagai sedan separa mewah. Disebabkan statusnya yang kurang popular, rata-rata Accord S84 di pasaran terpakai kini dijual pada harga yang agak munasabah.
Secara tidak langsung, faktor ini memberi peluang kepada mereka yang berkeluarga memiliki sebuah kereta yang luas dan selesa. Bagi kaki kereta seperti Nas, ia juga merupakan pilihan terbaik untuk melunaskan minatnya yang tak pernah padam. Panduan yang ada mungkin agak terbatas. Namun beliau tetap yakin dengan potensi yang boleh ditawarkan oleh kereta ini.
Untuk permulaan, bahagian luar telah disegarkan semula dengan rangkaian aksesori yang sesuai. Ia meliputi penambahan skirt keliling ala Modulo serta grill depan rekaan kustom. Bagi memberi kesan kontra kepada warna dan gaya keseluruhan, bahagian hood, fender, bonet dan spoiler menggunakan komponen gentian fiber yang lebih ringan.
Kereta ini datang dengan enjin F20A, yang mungkin agak kureng dari segi prestasi. Mujur terdapat beberapa pilihan yang boleh disesuaikan. Lepas puas berlebih kurang, Nas akhirnya memilih enjin H22A dari Accord Euro R untuk menyelesaikan masalah ini.
Pun begitu, salinan enjin ini tidak disertakan dengan peningkatan yang setara. Sikit-sikit tu adalah macam penapis udara Ultra, ram udara Top Fuel, unit throttle body Super90, kabel pencucuh NGK R09 serta cam pulley Jun. Memastikan kuasanya tidak tersekat-sekat, keseluruhan sistem ekzos telah dibina semula, bermula dengan unit ekstraktor FGK 4-2-1, paip kustom 2.5-inci serta sebuah muffler Apexi di hujungnya.
Walaupun layak menggunakan rim lebih besar, Nas sekadar berpuas hati dengan rim SSR Type C berukuran 16-inci. Ia dibalut pada tayar Bridgestone Potenza RE-11 untuk depan serta Michelin Pilot Sport 3 yang lebih lebar di bahagian belakang. Di sebalik rim tersebut tersemat brek Honda NSX, yang amat membantu proses hentian. Sementara sistem gantungan pulak menerima set suspensi jenis Tein Type Flex lengkap dengan unit talaan EDFC, yang boleh diejes-ejes bila perlu.
Masuk ke ruang dalam, hamparan papan pemuka masih menggunakan komponen Accord S84. Komponen lain yang ditambah termasuklah stereng Momo Euro R, panel meter aftermarket, pengawal ekon digital, serta sepasang tempat duduk Subaru di bahagian depan. Juga disediakan rangkaian meter elektronik seperti unit RSM Apexi, serta deretan meter Works Engineering untuk tujuan pemantauan.
Walaupun kurang diberi perhatian, Nas berjaya buktikan yang model sejuk seperti ini tetap berpotensi untuk dimajukan. Janji ada minat…