ABANG PILIH YANG MANA…

Benda paling hangit yang sedang diperkatakan sekarang ialah, kemunculan Myvi serba baharu dalam pasaran. Canggih, siap ada semaksetek lagi. Tu belum kira faktor rupa dan keselamatan. Walaupun baru sebulan dilancarkan, jumlah tempahan yang diterima dah pun cecah 20 ribu unit. Hebat bangat!

Bila ada yang baru, yang lama jangan pulak kita pandang sebelah mata. Kecik hati dibuatnya. Lebih-lebih lagi kepada penggiat tegar modifikasi Myvi, yang menjadikan salinan JDM sebagai panduan. Dah ler makan tahun nak bikin, rega komponen salinan pun bukan makin murah. Kalau tak kerana Rani, ingat boleh ke Myvi lama ni cecah angka satu juta! Nampak….

Seperti penggiat modifikasi JDM lain, salinan yang dibuat boleh jadi macam-macam. Dan untuk kereta ini, ia telah dijeponkan menerusi padanan kit badan Passo TRD Sport M. Beberapa aksesori lain turut diguna sama seperti skup Boon X4, panel depan Modellista, serta lip depan dan belakang Passo Racy. Padanan komponen jenis karbon fiber juga boleh dilihat di beberapa bahagian, khususnya di bahagian hood depan, spoiler dan penutup minyak.

Takkan menarik kalau kasutnya tak berjenama sokan. Untuk itu, Rani telah menyarungkan rim Volk Racing RE30 sebagai pilihan, sebelum dipadankan dengan tayar Continental dari saiz 195/50R-16. Bagi mendapatkan pengendalian lebih sempurna, sistem gantungan telah dinaik taraf menggunakan set suspensi boleh laras dari ZerOne.

Mana lengkap main Myvi kalau enjinnya tak diusik. Sebagai modal kelajuan, ia telah digantikan dengan enjin K3VET dari Daihatsu YRV. Sedikit peningkatan turut dilakukan pada sistem pendesak, menerusi penggunaan turbo jenis IHI RHB52. Juga disertakan sebuah wastegate Tial 38mm, sebelum disejukkan oleh unit intercooler kustom pada bumper depan. Boost yang terhasil kemudiannya dibawa ke manifold kemasukan kustom, manakala tekanan berlebihan akan dilepas keluar menerusi injap pelepas HKS SSQV.

Berbanding pemilik lain yang gemar mengekalkan kotak gear tiptronik asal, Rani tetap berkeras untuk menggantikannya dengan kotak gear manual Passo TRD Sport M. Baru tak nampak kunyet. Memastikan hantaran setiap gear tidak tergelincir, ia kini dilapik set klac pejal dari D Sport.

Bahagian dalam menyaksikan penggunaan papan pemuka Passo TRD Sport M sebagai komponen utama. Kemudian ada trim karbon fiber Modellista, stereng Sparco, tombol gear TRD, tempat duduk Passo Racy 08, serta tempat duduk TRD Sport untuk pemandu. Untuk bantuan pemantauan, disediakan gugusan meter Defi, paparan tambahan Super Cat, serta unit RSM dari Apexi.

Yang baru memang cantik, tapi lama masih menarik. Selagi takde yang berani bikin Myvi baru, pemilik Myvi lama kekal sebagai bintang paling merecik dan laju…