Aaron Haikal Cipta Sejarah Sebagai Pemandu Termuda Rangkul Gelaran Keseluruhan MTCC 2025

Pasukan HI-REV Dream Chaser Racing Team terus mencipta sejarah dalam arena perlumbaan tempatan apabila berjaya mempertahankan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut di Malaysia Touring Car Championship (MTCC) 2025. Kejayaan ini melengkapkan rekod cemerlang mereka sejak 2022, menegaskan dominasi pasukan dalam siri perlumbaan berprestij tersebut.

Lebih manis, Aaron Haikal yang baru berusia 17 tahun mencatat sejarah sebagai pemandu termuda pernah dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan MTCC. Turut mengukir nama ialah Daim Hishammudin, Juara Sepang 1000km 2024, yang sekali lagi membantu pasukan mengekalkan rentak kemenangan mereka.

Kejayaan berterusan ini menjadi bukti bahawa kejuaraan bukan sekadar tentang bakat, tetapi hasil ketekalan, kelajuan dan semangat yang konsisten. Didorong oleh torQe Performance Motor Oil dan HI-REV Lubricants, pasukan ini sekali lagi membuktikan mereka kekal sebagai kuasa besar dalam dunia perlumbaan negara.