702 Unit Alami Masalah Keselamatan, Honda Malaysia Sahkan Tidak Melibatkan Unit Yang Sedang Dijual

Honda Malaysia memanggil semula 702 unit model keluarannya iaitu City Hybrid keluaran tahun 2021 sebanyak 630 unit dan Civic 2022 berjumlah 72, menjadikan kesemuanya 703 unit. Tujuan panggilan balik ini demi memastikan keselamatan para pemilik.

Menurut kenyataan Honda Malaysia, panggilan balik ini dibuat ekoran masalah yang melibatkan Advance Diver Assistance System (ADAS) pada 630 unit City Hybrid 2021 dilaporkan tidak aktif. Justeru, langkah berjaga-jaga ini dilakukan dengan memanggil kesemua unit terlibat untuk menggantikan kamera yang dipasang pada cermin depan.

Selain itu, terdapat juga masalah yang membabitkan kimpalan tidak lengkap dalam pelaras luncur tempat duduk pemandu. Panggilan ini penting untuk membetulkan titik kimpalan pada pelaras luncur yang boleh menyebabkan kedudukan pemandu ketika memandu tidak dapat diubah atau dibetulkan. Malah, pemandu terpaksa berkompromi tentang perlindungan khususnya tali pinggang keledar. Sebanyak 72 unit Civic 2022 mengalami masalah ini.

Honda Malaysia memohon maaf di atas masalah yang memberi kesan khususnya kepada para pemiliki tetapi mengesahkan, ia langsung tidak melibatkan unit-unit yang sedang dijual. Sehingga sekarang, masih belum ada kejadian tidak diingin berlaku kerana kedua-dua masalah ini. Honda Malaysia percaya dengan memanggil semula unit-unit yang terlibat ini, keselamatan para pemiliki dijamin selamat seiring dengan prinsip syarikat yang mengutamakan keselamatan para pelanggannya.

Semua pemilik yang terlibat akan dimaklumkan menerusi surat yang turut disertakan dengan maklumat lebih terperinci tentang panggilan balik ini. Honda Malaysia juga menggesa agar para pemilik yang terkesan untuk menghubungi wakil pengedar Honda untuk membuat temu janji.

Segala urusan pemeriksaan dan penggantian unit yang terkesan tidak dikenakan sebarang bayaran. Kepada para pemilik yang mahukan status terkini kenderaan yang dipanggil balik ini, sila hubungi talian bebas Honda Malaysia 1-800-88-2020 atau layari productrecall.honda.com.my.