5 Kereta Ikonik Filem Hollywood

5 Kereta Ikonik Filem Hollywood

Bercerita tentang filem, sudah pasti perfileman yang paling dijulang dan sering menjadi tumpuan adalah industri perfileman Hollywood. Persepsi masyarakat khususnya pengikut tegar industri perfileman, filem terbaik adalah keluaran Hollywood atau Hollywood ‘kilang’ pengeluar filem terbaik. Sama ada setuju atau tidak, bukan itu tujuan artikel ini ditulis dan serahkan kepada mereka yang lebih arif.

Satu perkara yang perlu kita akui dan tidak dapat dinafikan, pengaruh filem Hollywood yang sering menjadi ikutan. Baik dari segi fesyen, pertuturan, gaya hidup dan juga jentera yang digunakan hero atau heroin filem-filem mereka. Tak perlu ambil contoh jauh, semasa filem The Fast And The Furious mula ditayangkan, berapa ramai anak-anak muda yang terpengaruh? Malah, filem Malaysia sendiri turut terkena dan menghasilkan filem dengan subjek yang sama.

Jadi, artikel hari ini khusus untuk mengimbas kembali 5 buah kereta yang pernah menjadi pujaan dan popular berbanding watak-watak dalam filem itu sendiri. Ia sekadar pemerhatian penulis yang memang gemar menonton filem dan dalam masa sama menghargai usaha pembikin filem yang berjaya mewujudkan kereta-kereta yang dimodifikasi dengan cukup luar dari kebiasaan.

1 – The Time Machine
Mungkin generasi sekarang tidak kenal atau tidak pernah menonton filem siri Back To The Future tentang perjalanan merentas masa (hadapan atau masa lampau). Walaupun hero filem ini adalah Marty McFly tetapi jentera yang digunakan ciptaan Doc Brown, The Time Machine menjadi sebutan. Mesin masa ini dibina ke atas sebuah Delorean DMC-12. Mengikut pembacaan penulis, kereta yang tampil lebih maju berbanding kereta lain ketika itu dikeluarkan selama 2 tahun dengan hanya 9,000 pengeluaran.

2 – The Love Bug
Jujurnya, kereta Beetle ini yang paling diingati penulis. Sebelum menonton filem Herbie The Love Bug (ditayangkan pada tahun 1969), penulis menganggap kereta Beetle keluaran Volkswagen ini sangat membosankan. Tambah pelik bila enjinnya bukan di bahagian hadapan. Sebelum kecam, suka untuk penulis maklumkan ketika menonton filem ini buat kali pertama, penulis baru 7 atau 8 tahun. Ok, jangan kecam ya. Namun, filem ini membuatkan penulis mula menyukai Beetle dan sampai sekarang, setiap kali nampak Beetle di mana-mana, pasti teringat aksi hebat Herbie 53 ini.

3 – Bumblebee
Tak sah kalau bercerita tentang kereta ikonik filem Hollywood tanpa menyebut Bumblebee dari filem Transformer. Asalnya Bumblee merupakan sebuah kereta Chevrolet Camaro 1977 dan dikemaskini ke sebuah Camaro Concept. Apa-apa pun, kedua-dua kereta ini memang menjadi tarikan utama dalam filem Transformer selain watak Optimus Prime. Oh ya, Bumblebee pun ada filem sendiri!

4 – KITT
Bermula dari siri tv pada awal tahun 80an dan dijadikan filem, ianya terkenal bukan sahaja kerana heronya David Hasselholff tetapi juga kerana kereta dari masa hadapan yang menjadi ‘rakan’ hero dalam membanteras jenayah. Lengkap dengan GPS dan sistem media yang maju seperti yang ada dalam setiap kereta pada zaman sekarang KITT merupakan sebuah kereta Pontiac Trans Am tahun 1982. Penulis tak pernah terlepas siaran siri ini setiap kali ditayangkan di tv sekitar tahun 1990an dulu. Siri sekarang dah tak sama macam dulu sebab penulis pun tak ada masa layan apa-apa cerita sekarang ni!

5 – Kereta Mini Mr.Bean
Tak adil kalau siri Mr.Bean dikategorikan dalam filem Hollywood kerana asalnya ia merupakan sebuah siri komedi dari UK tetapi ia juga pernah diangkat sebagai filem Bean (penggambaran di UK dan US serta berkolaborasi dengan Hollywood). Anda pasti dapat membayangkan aksi lucu Rowan Atkinson bersama kereta British Mini Leyland 1000 Mark 4 terutamanya bila bertembung kereta Reliant Regal berwarna biru!

Jadi, itu kesemua lima kereta ikonik dari filem Hollywood pilihan penulis. Selain yang ada dalam senarai, banyak lagi kereta ikonik Hollywood seperti Batmobile (Batman), Black Beauty (Green Hornet) dan Dodge Charger (Fast & Furious 7). Anda pula, macam mana? Kongsikan pendapat anda dengan kami!

Disediakan oleh : Shai Zahar