2JZ BUWAYA

 Ketika diperkenalkan pada pertengahan tahun 2012, Ranger T6 menerima sambutan di luar jangkaan, sekaligus memecah dominasi Hilux dan Triton ketika itu. Dari yang memang main trak sampailah yang baru berjinak-jinak, semuanya tertumpu kepada model sasa terbaru dari Ford ini. Kenapa?

Sebab ianya Ford, yang memiliki reputasi cukup baik di negara Uncle Trump. Walaupun direka oleh Ford Australia dan dikilangkan di Thailand, ia memiliki rupa yang sangat encem, hampir menyerupai abangnya F-150 Raptor. Malah ciri-ciri yang ditawarkan juga, menjadi penanda aras kepada pengeluar trak yang lain. Ada ABS, EBD, ESP, airbag, cruise control, macam-macam lagilah. Udoh sebijik macam kereta. Itu belum kira model tertinggi Wildtrak. Tu pasal ada yang sanggup menunggu sampai berbulan lamanya.

Haa antara manusia yang mendambakan kehebatan model sasa ini. Beli bukan hanya untuk dijadikan kuda kerja, tapi juga berfungsi sebagai kenderaan keluarga. Tapi bila dah lama sangat layan standard, mulalah datang penyakit gatai-gatai. Maka dimekapnya trak ini dengan rupa yang pelbagai. Kejap tinggi, kejap rendah, kejap tinggi balik. Sampaikan kasut sukan saiz 22-inci pun pernah disarungnya.

Tapi langit tak selalu cerah, kekadang tengahari pun boleh hujan. Lepas disambung dengan macam-macam gajet peningkat kuasa, enjin Duratorq yang dibekalkan akhirnya membuat keputusan untuk merajuk sebelum waktunya. Pishang, dia retak terus! Nak cari enjin kosong bukannya senang. Kalau jumpa sekali pun, mesti dijual pada rega mencekik darah. Lepas puas termenung, Haa akhirnya mengambil keputusan menggantikan enjin diesel ini dengan sebuah enjin suapan petrol.

Pilihan yang dibuat bukan calang-calang. Sebuah enjin turbo berkembar 2JZ-GTE berkapasiti 3000cc dari Toyota Aristo. Memandangkan ia bukan dari keluarga yang sama, kerja-kerja pengubahsuaian perlu dilakukan pada cagak enjinnya. Mujur trak seperti Ranger, datang dengan casis jenis ladder. Jadi penempatan enjin dan kotak gear ini boleh dikukuhkan dengan binaan breket baru.

Buat masa ini tiada perubahan besar yang dilakukan Haa, kecuali mengenakan efek krom kaler-kaler. Kereta tokey cat, tembak sendiri ler. Sistem turbo berkembar asal tu pun masih setia menjalankan tugas. Yang ada cuma penapis udara HKS, intercooler dan paip sambungan kustom, serta injap pelepas HKS SSQV. Untuk penyampaian bahan api pulak, sebuah pam luar Bosch 044 telah digunakan, dengan unit regulator Arospeed bertindak mengawal tekanan yang diperlukan.

Aspek talaan antara yang membantu Haa, mencapai kuasa yang diimpikan. Untuk itu, ia telah ditala menggunakan unit piggyback jenis Version Q dari Dastek Unichip. Selain itu, dua lagi modul tambahan turut diperlukan bagi mengawal parameter enjin ini secara total.

Ketika dipasang, kotak gear tiptronic V161 yang datang bersama hakat, telah digantikan dengan kotak gear manual R154. Ingatkan boleh power, tapi sudahnya boleh penyakit. Baru niat nak tekan, gear satu ngan klac mesti makan, ditambah ratio axle Ranger yang agak berat. Bila penat melayan kerenah yang sama, Haa masuk balik kotak gear tiptronic yang asal, termasuk pengubahsuaian di bahagian axle belakang. Kali ni tak pakai Ranger punya dah, tapi digantikan dengan axle LSD milik Pajero V44 yang lebih ringan. Patut tayar belakangnya sekarang galak semacam…

Nak main tinggi takut gayat, lagi-lagi bila enjin baru ini jauh lebih berkuasa dari yang sepatutnya. Untuk itu, keseluruhan sistem suspensi telah direndahkan pada kadar yang sesuai dengan set suspensi Bull 4X4 dari Thailand. Tapak yang memegang penyerap hentak belakang memang tak padan. Jadi ia perlu direka semula, sebelum kedudukan leaf spring dialih ke bahagian bawah axle. Patut labuh kemain, nak ajak main limbo pun layak. Sebagai pelengkap, segenap ruang roda kemudian diisi rim Enkei RPF1 berukuran 20-inci, beserta tayar Michelin Latitude 275/40ZR-20 untuk depan dan Bridgestone Dueler 315/35R-20 di ruang belakang. Hamek kau, lagi gabak dari GT-R punya!

Hampir kesemua komponen dalaman masih dikekalkan, kecuali sepasang tempat duduk SSCUS yang lebih kepit di ruang depan. Meter-meter tambahan dah jadi wajib, termasuk unit RSM Apexi untuk tugas pemantauan. Yang tak ngam cuma konsul gearnya. Ari tu dah okey. Tapi lepas tukar jadi auto, macam tergeliatlah pulak…

Setelah diejes-ejes, enjin baru ini akhirnya berjaya ditala hingga mampu mencecah 450 kuda-kuda pada roda belakang. Kuat sangat dah tuh, hampir 3 kali ganda berbanding enjin diesel asal. Tapi Haa tak minat pun nak masuk drag. Dapat main antilag letop-letop kat tepi rumah pun wokey…

 

Spesifikasi