1,872 Unit Kenderaan Terjual, Mitsubishi Motors Catat Sejarah Jualan Tertinggi Pada April 2021

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), pengedar rasmi Mitsubishi Motors di Malaysia mencatatkan sejarah jualan tertinggi pada bulan April 2021 dengan 1,872 unit kenderaan terjual. Syarikat tersebut mencatatkan peningkatan jualan sejak Januari lalu dan momentum ini diteruskan ke bulan April sekaligus memperkukuhkan kedudukannya di tangga ketiga sebagai jenama bukan national untuk empat bulan berturut-turut.

Mitsubishi XPANDER baharu terus mendominasi segmen MPV bukan nasional sejak Januari dan dijangka akan terus mengekalkan jumlah jualan dengan lebih 10,000 tempahan diterima sejak pelancarannya pada November 2020. XPANDER sahaja menyumbangkan jualan sebanyak 982 unit iaitu 52% jualan syarikat tersebut pada bulan April. Setakat ini, Mitsubishi telah menghantar sebanyak 3,800 unit XPANDER kepada pemiliknya di seluruh Malaysia.

Selain itu, Mitsubishi Triton juga mengekalkan jualan sehingga 20% dan terus menjadi kegemaran kepada para penggemar segmen trak pikap walaupun mendapat persaingan dari beberapa model yang baru sahaja dilancarkan. Setakat ini, sebanyak 680 unit Triton telah dijual pada April dan sebanyak 142 unit Triton Athlete telah diserahkan pemiliknya.