MSF SUPER TURISMO 2019

Tirai perlumbaan MSF Super Turismo bagi musim 2019 telah dibuka dengan jayanya pada 16 & 17 Mac yang lalu. Untuk pusingan kali ini, ia dianjurkan bersempena dengan perlumbaan Asia GT Festival yang pertama kali diadakan di luar negara China.

Sebanyak 205 buah jentera telah mengambil bahagian bagi merebut tempat terbaik dalam semua kategori yang dipertandingkan. Buat julung kalinya, pihak penganjur juga telah memperkenalkan kategori bonus, khusus untuk peserta wanita dalam perlumbaan Saga Cup. Kesudian Perdana Menteri, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad melakukan acara pelepasan bagi kategori Saga Cup, turut menggamit memori buat semua yang hadir.

Tumpuan perlumbaan masih terarah kepada kategori Race Cars Open, yang menyaksikan persaingan hebat antara Proton Satria Millennium-Fatboy-Penrite yang dipandu Alif  Hamdan, dengan tiga buah jentera Honda Civic EG6 kendalian Faidzil Alang, Azlan Malik dan Akid Azlee/Mark Darwin.

Dalam perlumbaan pertama , Alif Hamdan berjaya menjarakkan diri dan meninggalkan Faidzil Alang dari pasukan Speed Demon Motorville Racing Team hampir 8 saat di belakang. Dengan catatan masa terbaik 2 minit 19 saat, beliau dilihat begitu dominan untuk menguasai perlumbaan seterusnya.

Memasuki pusingan kedua, kedudukan mereka sentiasa silih berganti sekaligus mengubah rentak perlumbaan. Faidzil Alang yang berjaya meloloskan diri, mempunyai kelebihan untuk menguasai perlumbaan. Di hujung saingan, Alif Hamdan yang hanya ketinggalan 0.48 saat, terpaksa berpuas hati di tempat kedua. Sementara Azlan Malik dari Wenso Racing Team mengungguli tempat ketiga keseluruhan.

Persaingan kategori lain juga tidak menghampakan berikutan perubahan peraturan yang membenarkan penggunaan tayar berprestasi Hankook RS4 bagi kategori Street. Begitu juga peraturan teknikal untuk kategori Saga Cup yang telah ditambah baik. Ia dijangka bakal merancakkan lagi cabaran perlumbaan, selain mengubah catatan masa terpantas untuk setiap kategori.

Ribuan terima kasih diucapkan kepada EXN Lube, Hankook Tyres, Fawster Suspension dan TOC Automotive Collage, kerana sudi bekerjasama untuk menjayakan acara ini. Pusingan seterusnya dijadualkan berlangsung pada 14 April 2019. Layari www.msfracing.com untuk maklumat lanjut.

Foto: Ishraqi @ Tune Photography / Tomalique  @ Speed legacy / Last Hope