Art Of Speed kembali menggegar Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) dengan pelbagai pengisian yang menarik pada 29 & 30 Julai yang lalu. Tidak hanya mempamerkan seni modifikasi olskool dan kustom, ia turut menyediakan pelbagai aktiviti interaktif serta hadiah cabutan bertuah yang menarik!
Meneruskan tradisi untuk menginspirasikan komuniti kustom tempatan, penganjuran kali ini turut membawa kenderaan vintaj dan ubahsuai yang mengkagumkan dari luar negara. Ini termasuk variasi kenderaan yang mengambil bahagian dalam acara Show & Shine dan Neat Fest. Juga berlangsung, pameran galeri seni Moto Circus, aksi papan luncur dan BMX oleh House Of Vans, pameran dan jualan produk Hot Wheels, forum Kustom & Koffee Talk, pelancaran produk, sesi pandu uji, perhimpunan dua roda Roda Rumble, bazaar jualan, serta persembahan pentas oleh artis terkenal. Selain itu, pengunjung juga berpeluang mendekati barisan tetamu antarabangsa yang dijemput khas.
Art of Speed Invitational Bike Build Off 2018 yang dikuasakan oleh Petronas, telah menyaksikan 8 pembina motosikal khas daripada Malaysia dan Singapura, bersaing untuk hadiah wang tunai RM10,000 (pilihan juri) dan RM5,000.00 (pilihan awam). Mereka adalah Rusty Factory Ipoh, Soul Garage Sungai Petani, JZ Engineering & Services Pasir Gudang, No Die Cycles Ampang, Beautiful Machines Kuala Lumpur, Dstreet Customs Singapura, Kenstomoto Kuala Lumpur dan Skateture Custom Works Kuching. Dalam pertandingan ini, Muhammad Khalid Musa dari Rusty Factory Ipoh telah dinobatkan sebagai pemenang apabila motorsikal BMW R75/6 yang diubahsuai beliau berjaya menarik perhatian juri. Malah beliau turut memenangi hadiah pilihan awam selepas memperolehi undian tertinggi berbanding peserta lain.
Dalam acara Show & Shine, kategori Best Of Show Automobile telah dimenangi Hiszawawi Samseh, yang mempamerkan sebuah Chevrolet C10 Long Bed. Sementara Pa’Din Musa pula, memenangi kategori Best Of Show Motorcycle menerusi Harley-Davidson Panhead. Sebagai ganjaran, kedua-dua mereka akan dibawa ke 27th Annual Yokohama Hot Rod Custom Show pada bulan Disember ini sebagai tetamu jemputan.
Acara kemuncak merupakan cabutan bertuah yang menyediakan dua hadiah utama pada Sabtu dan Ahad. Untuk cabutan hari pertama, Shamsudin Yakob telah memenangi pakej lawatan untuk seorang ke 27th Annual Yokohama Hot Rod Custom Show 2018. Manakala Mohamad Nasrudin Abdullah, memenangi motosikal C600R Streetcub rekaan FNG Works bagi cabutan hari kedua.
Untuk keputusan penuh dan maklumat lebih lanjut berkenaan acara ini, layari www.artofspeedmy.com atau www.facebook.com/ArtOfSpeedMY/