MALAYSIA COMMERCIAL VEHICLE EXPO 2019

Edisi keempat Malaysia Commercial Vehicle Expo (MCVE 2019), telah berlangsung pada  20-22 Jun yang lalu di MINES International Exhibition & Convention Centre (MIECC). Memberi penekanan kepada penyelesaian pengangkutan masa depan dan industri kenderaan komersial, ia telah menarik hampir 70 pempamer dari dalam dan luar negara, menyertai pameran kenderaan komersial terbesar di rantau Asia Tenggara ini.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dato’ Kamarudin Jaffar, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia. Turut mengiringi beliau, Mr. Stefan Pertz, Editor Asian Trucker & Asian Buses yang juga penganjur pameran, serta Duta Sweden ke Malaysia, Mr. Dag Juhlin-Dannfelt.

Perubahan yang berlaku dalam sektor pengangkutan dan kenderaan komersial memerlukan mereka yang terlibat peka dengan perubahan semasa. Dengan adanya pameran seperti ini, ia membantu pemain industri memperkenalkan inovasi produk dan perkhidmatan serta teknologi yang jauh lebih cekap dan selamat. Antara yang mengambil bahagian termasuklah Scania, Volvo, UD Trucks, MAN, Hino Motors, Daihatsu, Yonming Group dan lain-lain.

MCVE 2019 turut membawakan sesi seminar yang disampaikan oleh panel-panel berpengalaman. Selain itu, para pengusaha industri juga berpeluang membentuk kerjasama dan rangkaian perniagaan, sama ada melibatkan perkhidmatan, peralatan atau alat ganti untuk kenderaan komersial.

Malaysia Commercial Vehicle Expo 2019 dianjurkan oleh Asian Trucker, penyedia saluran komunikasi bagi sektor pengangkutan dan kenderaan komersial. Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.mcve.com.my