MALAYSIA AUTOSHOW 2019

Malaysia Autoshow 2019 anjuran Malaysia Automotive, Robotics & IoT Institute (MARii), telah berlangsung di MAEPS Serdang pada 11-14 April yang lalu. Dengan tema ‘Mobility For All’, ia telah dirasmikan oleh YAB Tun. Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia. Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri, YB Datuk Darell Leiking, Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Dato’ Madani Sahari, serta tetamu kehormat yang lain.

Pameran automotif tahunan ini mengetengahkan hampir 100 buah kenderaan pelbagai jenama. Antara yang mengambil bahagian termasuklah Proton, Perodua, Honda, Toyota, Nissan, Mitsubishi, BMW, Mazda, Volkswagen, Peugeot, Kia, selain beberapa jenama motosikal dan produk automotif yang lain. Menerusi pameran ini, pengunjung bukan saja berpeluang melihat secara dekat model-model yang dipamerkan, malah boleh mendapatkan pakej kewangan istimewa atau mengikuti sesi pandu uji yang disediakan.

Selain model semasa, beberapa pengeluar telah mengambil inisiatif memperkenalkan kereta konsep serta barisan model yang bakal menembusi pasaran. Antaranya Honda Civic FK8 Type R Mugen Concept, BMW i3, Mazda CX-8, Citroen C3 Aircross dan Toyota Yaris. Sementara Perodua pula telah memperkenalkan 50 buah model Bezza Limited Edition, yang berjaya dijual dalam masa dua hari.

Buat julung kalinya, Malaysia Autoshow 2019 turut membawakan acara International Auto Modified (IAM), yang mempamerkan rangkaian kereta modifikasi terbaik di negara ini. Ia secara tidak langsung, turut menarik minat golongan muda untuk menyertai acara ini. Lain-lain aktiviti yang disediakan termasuklah pameran teknologi automotif, inovasi robotik, pertandingan e-Sports, pengalaman pemanduan bersama Proton, demonstrasi drift, pemeriksaan kenderaan percuma, serta peluang memenangi Kia Picanto, Perodua Bezza atau Perodua Myvi dalam acara cabutan bertuah.