Sejak kewujudannya pada Jun 2000, Killerbees sentiasa mewarnai dunia permotoran tempatan dan merupakan antara kelab yang masih kekal bertahan sehingga hari ini. Selepas beberapa tahun menyepi, mereka kembali menganjurkan acara Killerbees Mega Gath 2019, bertujuan untuk menyatukan para pemilik dan peminat Mazda & Ford di negara ini.
Sesi pertemuan berlangsung di Bandar Di Raja Kuala Kangsar, Perak pada 16 Mac yang lalu. Sebanyak 130 buah kereta berjaya dikumpulkan, melibatkan pelbagai model Mazda & Ford yang kian sukar ditemui. Kesempatan ini digunakan sepenuhnya oleh mereka untuk mengeratkan hubungan silaturahim, selain meninjau barisan kereta yang mengambil bahagian.
Selepas mendaftar, acara dimulakan dengan sesi taklimat diikuti beberapa acara sampingan yang lain. Ia diteruskan dengan pertandingan autoshow, yang dibahagikan kepada enam kategori iaitu Best Audio, Best Exhaust, Best Interior, Best Exterior, Best Colour dan Best Engine.
Tepat jam 6.00 petang, para peserta dibawa berkonvoi sekitar Bukit Chandan, sebelum berkumpul di Padang Kawat Istana Iskandariah untuk sesi bergambar. Di sebelah malam pula diadakan jamuan BBQ, sesi cabutan bertuah, serta penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan autoshow.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada Killerbees Perak selaku tuan rumah, para penaja, serta semua yang terlibat menjayakan acara ini. Semoga Killerbees akan terus kekal memperjuangkan jenama Mazda & Ford di Malaysia.
Foto: Encik Bob