Tahun ini, giliran Thailand menjadi tuan rumah untuk acara Evo Day 2019. Berlangsung pada 5-7 April yang lalu, ia telah diadakan di kawasan pelancongan Khanom Beach, Suratthani Thailand. Sebanyak 34 buah Mitsubishi Lancer Evolution yang mewakili Three Diamond Club Of Malaysia (TDM) telah menyertai acara ini.
Evo Day kali ini lebih kepada tema santai di mana acara yang disusun, tertumpu kepada aktiviti perkelahan dan ramah mesra. Bermula dengan 13 buah kereta dari Kuala Lumpur, mereka bergabung dengan kumpulan peserta di beberapa hentian, sebelum bergerak menuju sempadan.
Selesai urusan dokumentasi, konvoi segera memasuki sempadan dan menuju hotel penginapan di Hatyai. Kumpulan Pantai Timur bagaimanapun tiba agak lewat, selepas sebuah daripada jentera mengalami kerosakan. Keesokan harinya, kesemua peserta mula meninggalkan Hatyai, sambil diiringi rakan-rakan EvoSouth Thailand menuju Khanom Beach.
Hari ketiga, kesemua peserta berkumpul dengan lebih 150 buah Lancer Evolution dari 5 buah negara. Selain TDM yang mewakili Malaysia, peserta Thailand diwakili kumpulan dari EvoSouth, Mitsubishi Lancer Registered, QuarterTech dan EvoShop. Tidak ketinggalan wakil peserta dari beberapa negara lain seperti Singapura, New Zealand dan Australia.
Foto: TDM & Eastern Squad