BANGKOK INTERNATIONAL AUTO SALON 2019

Bangkok International Auto Salon (BIAS) kembali berlangsung pada 3-7 Julai yang lalu, di Pusat Pameran Impact Muang Thong Thani, Bangkok Thailand. Diasaskan oleh francais terkenal Auto Salon yang mengendalikan Tokyo Auto Salon (TAS) di Jepun, BIAS merupakan acara tahunan yang kian mendapat tempat di kalangan penggiat industri hiliran automotif, khususnya di rantau ini.

Pameran ini boleh disifatkan antara yang terbesar di Asean, dengan memberi tumpuan kepada dunia talaan dan modifikasi. Ia mengetengahkan puluhan pemain industri terkenal sama ada jenama tempatan mahupun antarabangsa. Antaranya Liberty Walk, Seeker, Work Wheels, Cusco, Endless, Qgura, Spoon, Gulf Oil, Prince Lubricants, Cosmis, Datatec, Akana Carbon Wizard, dan lain-lain. Jenama pengeluar seperti Honda, Isuzu, Nissan, Suzuki, Toyota, Mazda, Subaru, BMW dan Yamaha turut mengambil bahagian pada pameran kali ini.

 

Kualiti jentera yang dipamerkan sentiasa meningkat saban tahun. Sebahagian besarnya dimiliki oleh syarikat talaan tempatan dan pemilik persendirian, termasuk yang dibawa khas dari Jepun. Antara yang mencuri tumpuan termasuklah Toyota Hilux Pandem, Toyota 86 Future Sports, Honda Civic Type R HKS, Suzuki Jimny Wald Bison dan lain-lain. Beberapa acara sampingan seperti persembahan pentas, perhimpunan kelab dan cabutan bertuah turut diadakan bagi menarik minat pengunjung ke pameran ini.

Foto: Adam Photography