Bersempena dengan program Selangor Youth Revival (SYR2019), Persatuan Pengimport & Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) dengan kerjasama Galeri Kereta dan Super Rocket telah menganjurkan acara Autonative Culture pada 2 November yang lalu. Berlangsung di perkarangan Stadium Shah Alam, ia berjaya menarik ribuan peminat modifikasi untuk sama-sama mengambil bahagian dalam acara ini.
Barisan kereta pameran mula tiba seawal pagi. Terbuka kepada semua tanpa mengira corak modifikasi, ia berjaya menghimpunkan pelbagai jenis kenderaan dari segmen yang berbeza sama ada klasik, moden, mahu pun berprestasi tinggi. Malah sesetengah daripadanya merupakan model terhad yang jarang dilihat di mana-mana.
Di samping bertemu rakan dan meninjau kereta pameran, peluang ini turut digunakan untuk menambah kenalan dan berkongsi cerita tentang modifikasi. Pelbagai aktiviti sampingan juga disusun sepanjang acara berlangsung. Antaranya jualan kenderaan import oleh ahli PEKEMA, pertandingan autoshow, promosi jualan, persembahan artis jemputan, serta cabutan bertuah yang menyediakan pelbagai hadiah menarik kepada para pengunjung.
Selain Autonative Culture, karnival belia terbesar yang dibawakan oleh Kerajaan Negeri Selangor ini, turut menghidangkan pelbagai pengisian menarik seperti konsert artis terkenal, pameran kerjaya, gerai jualan, pameran motosikal oleh Retromania, pertandingan e-sport, sukan rakyat, sukan lasak, larian retro fun run dan lain-lain.
Foto: Sufiyan @ Static365