OMP RALLIART TOMMI MAKINEN EDITION, BENARKAH HARGANYA BOLEH MENCECAH RM10K?

Nampak macam stereng biasa. Airbag takde, butang shifter jauh sekali. Namun bagi peminat tegar RalliArt dan siri Lancer Evolution, mereka pasti teruja setiap kali melihat ‘stereng kalung’ ini.

Seperti namanya, stereng OMP RalliArt Tommi Makinen Edition dikeluarkan bagi memperingati kejayaan Tommi Antero Makinen dan Pasukan Mitsubishi RalliArt, memenangi Kejohanan Rali Dunia (WRC) pada tahun 1996, 1997, 1998 dan 1999. Sampai 4 tahun berturut-turut. Namun pencapaian yang cukup membanggakan itu, gagal diulangi mereka sampai hari ini.

Dikategorikan sebagai item koleksi, stereng ini cukup bernilai dan menjadi buruan peminat aksesori RalliArt kerana jumlahnya yang terhad. Berdiameter 350mm, ia datang dalam bentuk 3-jejari dengan balutan material jenis suede yang berkualiti tinggi. Terdapat dua edisi pernah diperkenalkan, dengan sedikit perbezaan yang mudah dikenalpasti.

Edisi pertama mula dikeluarkan pada tahun 1999. Ia memiliki logo Mitsubishi Motors di sebelah kiri, logo RalliArt dan 3 kalung kejuaraan (1996 / 1997 / 1998) di sebelah kanan, termasuk tandatangan Tommi Makinen dan logo OMP di bahagian bawah. Setiap stereng ini memiliki nombor siri dan tahun pengeluaran yang ditempa di bahagian belakang, serta didatangkan dalam paparan perspex rekaan khas.

Bagi edisi kedua pula, logo Mitsubishi Motors dan RalliArt terletak di sebelah kiri, manakala 4 kalung kejuaraan (1996 / 1997 / 1998 / 1999) menghiasi ruang di sebelah kanan. Untuk tampak lebih eksklusif, ia dipersembahkan dalam kotak kayu khas yang lebih kemas.

 

 

Kerana nilainya sebagai item koleksi, harga stereng ini sentiasa meningkat saban tahun bergantung kepada kondisi sama ada NOS (new old stock) atau pernah digunakan. Menerusi carian ringkas di laman eBay, terdapat beberapa unit yang sedang dijual dengan harga bidaan tertinggi mencecah ¥298,000 (RM11,500). Rakan-rakan yang ada menyimpan stereng ini, turut mengakui kebenaran harga tersebut.

Sukar dipastikan jumlah yang pernah dikeluarkan untuk pasaran seluruh dunia. Katanya 999 unit untuk setiap edisi. Jika apa yang dikatakan itu benar, seorang daripada kita hanya mempunyai peluang sekitar 0.00002% untuk memiliki stereng edisi terhad ini. Patut mahal mencanak. Tidak hairanlah jika ia sekadar menjadi penghias rak Ikea rumah dan hanya dikeluarkan dalam situasi tertentu sahaja…