HI-REV PERKENAL BARISAN PASUKAN LUMBA 2018

Hi-Rev Racing telah memperkenalkan tiga pasukan lumba bagi tahun 2018 iaitu Hi-Rev SCK, Hi-Rev Jobaru Piaww dan Hi-Rev Dream Chaser, dalam satu majlis di Genting International Convention Centre (GICC). Ia menjadi musim paling menarik buat Hi-Rev Racing, yang kembali bergiat aktif dalam siri perlumbaan kereta dan motosikal tanah air.

Sebanyak 13 buah motosikal dan 2 buah kereta akan beraksi dalam beberapa siri perlumbaan utama. Antaranya Asia Road Racing Championship, Malaysian Cub Prix Championship, Malaysia Superbike Championship, MSF Superbike, King of 2T, MSF Racing Series dan Malaysia Championship Series.

Dalam pusingan 1 perlumbaan ARRC 2018 di Thailand, pasukan Hi-Rev SCK mencatat keputusan memberangsangkan apabila menduduki tempat pertama dalam kategori Underbone 150. Mereka turut mencatat keputusan sama dalam pusingan 2 yang berlangsung di Jepun bulan lalu. Kejayaan ini meneruskan kecemerlangan mereka tahun lalu, apabila memenangi 3 daripada 6 pusingan yang dijalankan.

Bagi perlumbaan Malaysia Superbike Championship, Hi-Rev Racing akan mengambil bahagian dalam semua kelas yang dipertandingkan. Ketika pusingan 1 yang berlangsung baru-baru ini, mereka berjaya menduduki podium pertama bagi kelas Superstock, tempat kedua dan ketiga untuk kelas Supersport serta tempat kedua dalam kelas Super 250.

Hi-Rev Racing juga mempertaruhkan dua jentera Kawasaki Ninja 250R untuk bersaing dalam kelas Super 400 dalam perlumbaan MSF Superbike. Sementara 3 buah lagi Kawasaki KIPS 150RR, akan digunakan dalam siri perlumbaan King of 2T.

Untuk siri perlumbaan MSF, Hi-Rev Dream Chaser akan bersaing menggunakan Proton Saga dan Proton Satria Neo dalam kategori masing-masing. Proton Satria Neo ini juga akan mengambil bahagian dalam perlumbaan Malaysia Championship Series.

Dalam majlis yang sama, Hi-Rev turut memperkenalkan minyak pelincir premium terbaru – TorQe Pro Fully Synthetic 5W-40 khusus untuk kereta berprestasi. Gabungan unik PAO dan teknologi Ester Plus yang terkandung dalam minyak pelincir ini, membantu melindungi enjin dari tekanan dan suhu tinggi, sekaligus mengekalkan prestasi pada tahap terbaik. Selain itu, Hi-Rev turut menawarkan rangkaian minyak enjin berkualiti untuk kegunaan motosikal dan industri, yang memenuhi standard persijilan ISO 9001:2008.