ESTRADA BY PULZAR MALAYSIA @ MSF SUPER TURISMO FINALE

 

Pusingan akhir siri perlumbaan MSF Super Turismo, merupakan peluang terakhir untuk setiap pelumba mencatat keputusan terbaik. Ia juga peluang terakhir untuk Estrada by Pulzar Malaysia mencatat keputusan memberangsangkan, sebagai penutup tirai perlumbaan tahun ini. Lebih mencabar apabila hujan turun seawal sesi kelayakan dan bertambah lebat semasa perlumbaan sebenar.

Setelah beberapa kali mencuba, Toyota Starlet #969 akhirnya menemui rentak kemenangan. Menurut Fadhlan, “Pada sesi kelayakan, #969 hanya berjaya membuat satu pusingan ujian masa sebelum hujan turun. Bermula di petak ke 6 kumpulan kedua, #969 berjaya menduduki tempat kedua di awal perlumbaan. Kedudukan itu kekal hingga pusingan ke 3, sebelum di pintas oleh pihak lawan. Sedikit kesilapan ketika hentian pit, menyebabkan kami dikenakan penalti selama 5 saat. Kami terus mencuba dan akhirnya berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ke-3 pada jarak yang selesa. Memang kami nantikan kemenangan ini”.

Bagi Asrul Ali pula, “Seminggu sebelum perlumbaan jentera Civic EF #636 berdepan masalah kotak gear. Saya tiada pilihan dan terpaksa berlumba dengan kotak gear standard. Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi, namun masih berjaya mencatat masa ke 4 terpantas untuk kategori Super 1500. Sejurus sebelum perlumbaan bermula, hujan turun dengan lebat dan ia merupakan kegemaran saya untuk berlumba dalam keadaan trek basah. Saya berjaya merapatkan jurang pada lap pertama tapi kemudian dilanggar oleh pesaing lain. Agak mencabar untuk kembali mengejar kelompok hadapan dan saya hanya mampu mengekalkan kedudukan ke 4 hingga tamat perlumbaan”.

“Ia adalah tahun yang sangat mencabar bagi melakukan penyelidikan dan pembangunan untuk Civic EF #636. Dari 2.44 saat pada 2018 dan 2.38.26 saat pada tahun ini, banyak usaha dari pasukan teknikal yang meletakkan kedudukan saya hari ini. Keseluruhannya saya gembira dan bersyukur atas pencapaian dan prestasi enjin ‘single cam’ 1500cc ini”, tambah Asrul Ali.

Berlumba dalam kategori baru Saga Cup Intermediate, Sharina Ramlle yang memandu jentera #819 mempunyai misi untuk menebus kesilapan pusingan terdahulu. “Tepat jangkaan saya, pusingan ke-6 berlumba dalam keadaan trek basah. Ada sedikit perasaan berdebar kerana risikonya sangat tinggi. Alhamdulillah saya berjaya menebus kekecewaan pusingan lepas dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-4 dalam kategori Saga Cup Intermediate, serta juara bagi kategori Saga Cup Ladies”, kata Sharina Ramlle.

Untuk Honda Jazz #619, pasukan berpuas hati kerana berjaya menamatkan keseluruhan perlumbaan tanpa sebarang masalah. Banyak yang dipelajari dari perlumbaan tahun ini dan ia perlu ditambah baik supaya lebih kompetitif dalam kategori Super Production yang disertainya.

Tamat sesi perlumbaan MSF Super Turismo 2019, satu pengalaman baru untuk keseluruhan ahli pasukan. Ribuan terima kasih kepada barisan penaja, rakan-rakan, juga kepada semua yang sentiasa memberi sokongan.

Laporan: Azwan Zulkifle / Foto: Tomalique

N.E.S Oil Seal SDN BHD (213523-K)
660, Batu 4, Jalan Ipoh,
51200 Kuala Lumpur, Malaysia.
Tel: 603-6257 4549 , 603-6257 4540
Mr. Chew 016-663 1221
Mr. Lim 012-502 0313
Mr. Por 012-509 0870
Email: enquiry@nesos.com.my
FB: www.facebook.com/pulzarmalaysia
Insta: www.instagram.com/pulzarmalaysia/
Website: www.pulzaroil.com